DANA RM100 JUTA UNTUK PESAKIT
DANA RM100 JUTA UNTUK PESAKIT
PESAKIT YANG TERUS KE HOSPITAL SWASTA PERLU MEMBAYAR SENDIRI
KUALA LUMPUR: Peruntukan RM100 juta untuk hospital swasta adalah untuk pesakit yang dirujuk oleh hospital awam sahaja, menurut Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Dr Kuljit Singh.
Dana tersebut adalah sebahagian daripada pakej rangsangan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan kerajaan awal bulan ini.
Bercakap dengan Malaysiakini, Kuljit berkata dana tersebut akan digunakan untuk pesakit hospital kerajaan yang dirujuk doktor untuk dirawat di hospital swasta.
GAMBAR IHSAN MALAYSIAKINI
“Jika mereka (doktor hospital kerajaan) merasakan ada pesakit yang perlukan rawatan, ubat atau pembedahan segera, terpulang kepada mereka untuk hantar pesakit ke hospital swasta bagi rawatan.
“Tapi ia berdasarkan kes, ia adalah atas penilaian dan keputusan mereka,” katanya ketika dihubungi.
Selepas membuat penilaian, doktor hospital kerajaan perlu membuat konsensus dengan hospital swasta berhubung keperluan pesakit dan caj rawatan, selepas itu barulah pemindahan pesakit dibuat.
“Pesakit tak perlu bayar, kerajaan akan bayar, tetapi hospital kerajaan dan swasta perlu capai persetujuan berhubung kadar bayaran.
“Sebelum pesakit boleh dihantar, doktor di hospital kerajaan akan berhubung dengan hospital swasta berkaitan caj bayaran,” katanya sambil menambah kerajaan mempunyai had belanja untuk setiap prosedur dan rawatan.
Kuljit juga menyatakan proses pemindahan pesakit ini telah diamalkan sebelum penularan Covid-19.
Bagaimanapun, dana RM100 juta yang diberikan akan membolehkan lebih ramai pesakit di hospital kerajaan, sama ada berkaitan Covid-19 atau bukan, dirawat di kemudahan swasta dengan dana kerajaan.
Kerajaan sebelum ini tidak menyatakan sebarang perincian dan justeru diminta menjelaskan bagaimana dana itu akan digunakan.
Dalam ucapan pengumuman pakej Permai pada 18 Jan lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin secara ringkas berkata dana tersebut untuk hospital swasta merawat pesakit daripada hospital kerajaan.
Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba dan timbalannya, Dr Noor Azmi Ghazali ketika dihubungi sebelum ini tidak memberi sebarang komen tentang perincian peruntukan.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Dr Chen Chaw Min juga tidak memberi maklum balas terhadap pertanyaan Malaysiakini.
Setakat ini, sejumlah 96 hospital swasta telah dilibatkan susulan peningkatan kes positif yang sukar ditampung sistem kesihatan awam.
Awal minggu ini, kerajaan berkata pesakit Covid-19 yang memilih untuk ke hospital swasta perlu membayar caj rawatan sendiri.
Ditanya berkenaan dasar itu, Kuljit mengesahkan pesakit yang memilih untuk ke hospital swasta perlu menanggung sendiri kos rawatan.
“Ia terpulang kepada hospital swasta sendiri, bayaran hospital swasta bergantung kepada jenis dan lokasi hospital.
“Ini bermakna caj kita boleh berbeza-beza, tetapi tentulah semua ini dimaklumkan kepada pesakit terlebih dahulu, ” katanya.