MELAKA SEDIA SETENGAH JUTA UNTUK e-KASIH
Berita Nasional
MELAKA SEDIA SETENGAH JUTA UNTUK e-KASIH
ALOR GAJAH: Kerajaan negeri menyediakan RM540,000 untuk 9,534 peserta e-Kasih, di negeri ini mencarum RM60 sebulan dalam skim Caruman Sukarela Insentif Suri (I-Suri) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata peserta e-Kasih terbabit didaftarkan mengikut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan harus dibantu untuk mencarum dalam I-Suri bagi membolehkan mereka menerima insentif kerajaan sebanyak RM540 setahun.
“Dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang berikutan pandemik COVID-19, kerajaan negeri prihatin nasib suri rumah, balu atau ibu tunggal yang kurang berkemampuan untuk dibantu, sekali gus menjamin kewangan masa depan mereka.
“Kerajaan negeri memberikan sedikit peruntukan dan selebihnya dibantu Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Pengurusan Kewangan Secara Cekap dan Pelancaran I-Suri Peringkat negeri di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua KWSP (Operasi), Datuk Mohd Naim Daruwish dan Naib Canselor KUIM, Prof Datuk Dr Mohd Taib Dora.
Sehubungan itu, beliau meminta pegawai JKM yang mengendalikan e-Kasih supaya berhubung dengan pegawai di pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) bagi membantu wanita mendaftar dalam I-Suri.
I-Suri diwujudkan kerajaan khas untuk wanita yang berdaftar dalam E-Kasih yang membabitkan isteri ketua isi rumah (KIR) dan KIR wanita, iaitu balu, ibu tunggal atau wanita bujang yang belum mencapai usia 60 tahun.
Mengenai program berkenaan, beliau meminta KWSP menganjurkan program pendidikan pengurusan kewangan secara cekap di 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meningkatkan pengetahuan anggota masyarakat mengenai pengurusan kewangan.
“Program ini mampu meningkatkan kesedaran masyarakat pentingnya pengurusan kewangan secara bijak setiap tahun pembayaran zakat kita bertambah, waris tidak menjadi miskin atau dapat menyumbang semula kepada masyarakat dengan lebih baik.
“Saya tidak mahu melihat rakyat mengalami masalah kewangan akibat tidak mampu mengurusnya dengan baik,” katanya.