PERLU BINCANG ISU GANGGUAN PROJEK ECRL
PERLU BINCANG ISU GANGGUAN PROJEK ECRL: AHLI PARLIMEN TINJAU ADUAN PENDUDUK
MARAN: Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib cuba menyelesaikan masalah yang timbul daripada rungutan penduduk yang tinggal berdekatan dengan tapak projek menanam cerucuk projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang dilaksanakan di Kampung Bak-Bak, di sini, hari ini.
Katanya, sebagai pemimpin setempat aduan dan rungutan tersebut perlu ditangani dengan baik demi kesejahteraan penduduk yang terlibat dan juga memberi manfaat semua pihak yang terbabit dalam situasi menang-menang.
“Rungutan mereka ada asasnya kerana kedudukan rumah mereka dekat dengan tempat projek penanaman cerucuk, pastinya bunyi dan debu mengganggu kehidupan harian mereka serta kalau tidak berhati-hati boleh mengundang masalah yang tidak dijangka.
“Saya akan berbincang dengan semua pihak yang bertanggung jawab berkaitan dengan projek pembinaan ECRL yang melalui kampung ini yang menghubungkan pantai barat ke pantai timur semenanjung yang semua pihak sudah sedia maklum,” katanya ketika meninjau kawasan tersebut.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata , mungkin isu seperti ini ada berlaku di tempat lain sepanjang jajaran landasan ECRL dibina tapi rungutan dan aduan yang berbeza mengikut keadaan setempat
Penduduk Kampung Bak-Bak, Zakiah Abd Aziz berkata, projek pembinaan jambatan landasan ECRL yang jarak 10.1 meter dari rumah kediaman dan kilang miliknya menyebabkan dia dan anggota keluarganya mengalami gangguan bunyi keterlaluan dan pencemaran debu sejak sebulan lepas.
“Gangguan bunyi melampau mengakibatkan seorang warga emas 61 tahun terpaksa dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS),Temerloh kerana mengalami tekanan perasaan dan turut bimbang bayi berusia 18 bulan mengalami gangguan yang sama.
“Kami bukan menolak pembangunan projek ECRL, tetapi projek mega ini telah mengakibatkan pencemaran bunyi yang dasyat kepada tiga keluarga dan pekerja kilang di sini ,” katanya.
Sementara itu seorang penduduk rumahnya bersebelahan projek itu, Noriah Abu Samah berkata bunyi yang sangat kuat daripada jentera dan bunyi hentakan cerucuk mengganggu mereka terutama ketika kerja menanam cerucuk dijalankan.
“Kerja projek dijalankan mulai jam 6.30 pagi sehingga 10.30 malam malah kadang-kala melebihi had waktu yang boleh mengganggu ketenteraman kehidupan harian kami.
“Dinding rumah saya juga turut retak kesan hentakan dari tapak projek yang sedang dijalankan, bimbang juga kalau serius boleh mendatangkan kesan yang lebih buruk,” katanya.
https://sahih.com.my/bunyi-hentak-cerucuk-ecrl-ganggu-penduduk/
saksi video https://www.youtube.com/watch?v=b9t3unyl73s