SIASAT HINA LAGU KEBANGSAAN INDONESIA
SIASAT HINA LAGU KEBANGSAAN INDONESIA
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan ke atas video yang memaparkan lirik lagu kebangsaan Indonesia disunting bagi tujuan menghina negara itu.
BH ONLINE melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab, tindakan tegas akan dikenakan berlandaskan undang-undang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Abdul Hamid memaklumkan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.
Terdahulu, media melaporkan, Malaysia mengutuk keras tindakan provokasi yang cuba menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia menerusi satu video, yang menghina negara jiran itu.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan malam tadi, menegaskan pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat video yang tular itu.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengambil maklum akan satu video yang didakwa dimuat naik oleh warganegara Malaysia dan didakwa memperlekehkan serta menghina Indonesia.
Terdahulu, satu video dimuat naik dua minggu lalu oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komentar di laman YouTube My Asean, memaparkan lirik lagu kebangsaan Indonesia, ‘Indonesia Raya’, disunting bagi tujuan menghina Indonesia.
Video di ruang komen di YouTube berkenaan dipadamkan, namun video itu dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia, yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.