PEMUDA MAUT, GADIS PARAH DALAM NAHAS DUA MOTOSIKAL
PEMUDA MAUT, GADIS PARAH DALAM NAHAS DUA MOTOSIKAL
KUCHING: Seorang lelaki maut dan seorang gadis cedera parah dalam nahas melibatkan dua buah motosikal di Kilometer 29, Jalan Segali, Sebuyau Simunjan, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang dikenali sebagai Shahardin Salleh, 32, beralamat di Kampung Tengah Tanjung Assam, Betong disahkan meninggal dunia di tempat kejadiaan.
Katanya, polis menerima panggilan sekitar jam 10 pagi berhubung kemalangan tersebut, melibatkan dua motosikal di Kilometer 29, Jalan Segali, Sebuyau Simunjan.
“Siasatan awal mendapati pada jam 9.30 pagi, motosikal ditunggang lelaki terbabit datang dari arah Sebuyau menghala ke arah Kuching telah bertembung dengan motosikal yang ditunggang seorang gadis berusia 16 tahun yang datang dari arah Simunjan menghala ke Sebuyau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Alexson, akibat perlanggaran tersebut, lelaki terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala remaja wanita cedera parah dan dihantar ke Hospital Simunjan untuk dapatkan rawatan lanjut.
BH Online melaporkan, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus satu lorong di kedua-dua arah yang mana cuaca adalah cerah dan jalan kering.
“Proses bedah siasat mangsa akan dijalankan di Hospital Serian,” ujarnya sambil menambah kedua-dua motosikal dibawa ke balai untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia.
Selain itu, beliau memberitahu, polis masih mengesan saksi bebas yang nampak kejadian tersebut.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Gambar: Media sosial