327 PEGAWAI, ANGGOTA PDRM TERBABIT DADAH
327 PEGAWAI, ANGGOTA PDRM TERBABIT DADAH: DITAHAN SEPANJANG 10 BULAN PERTAMA TAHUN INI
KUALA LUMPUR: Seramai 327 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan selepas terbabit penyalahgunaan sepanjang 10 bulan pertama tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, berkata tangkapan ke atas anggota dan pegawai itu dilakukan pihaknya melalui Ops Duri menerusi maklumat risikan serta aduan diterima.
Beliau bagaimanapun memaklumkan, jumlah tangkapan tahun ini menunjukkan trend penurunan berbanding 566 yang ditahan tahun lalu.
Katanya, antara kes penyalahgunaan dadah membabitkan membekalkan, memiliki, keputusan ujian air kencing positif dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
“Pihak JSJN sentiasa melaksanakan pelbagai operasi termasuk Op Duri yang sebelum ini dikenali sebagai Op Blue Devil bagi mencegah pembabitan anggota dan pegawai dengan penyalahgunaan dadah.
“Daripada jumlah itu, 18 individu ditahan kerana membekalkan dadah, 74 individu kerana memiliki dadah, 225 positif air kencing sementara 10 individu melalui LLPK setakat ini tahun ini,” katanya.
Bernama melaporkan, tahun lalu, 40 individu ditahan kerana membekalkan dadah, 99 kerana memiliki dadah, 424 positif air ujian kencing serta tiga di bawah LLPK.
Razarudin berkata trend penurunan tangkapan turut direkodkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), membuktikan PDRM tidak mengambil mudah pembabitan anggota dan pegawainya dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, sekiranya pegawai serta anggota yang ditahan tidak terbabit dalam isu integriti dan hanya mempunyai masalah disiplin diri serta dilihat tidak sesuai bertugas di JSJN, mereka akan ditukarkan bertugas di jabatan lain.
“Saya tidak boleh nafikan ada pegawai dan anggota polis terbabit penjualan ketum yang dilarang di bawah Akta Racun, kami ada terima laporan berhubung perkara ini,” katanya.
Razarudin berkata pihaknya akan mengambil tindakan sama ada mendakwa mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit di mahkamah atau menukarkan mereka.
“Selain itu, saya kena menunjukkan teladan bahawa saya dulu betul (menjadi contoh baik kepada anak buah), baru anak buah saya tengok saya adalah ketua yang betul.
“Jika saya hidup bermewah-mewah, pegawai dan anggota saya akan nampak saya tidak betul dan gaji saya tidak setara dengan kehidupan mewah.
“Saya minta kepada pegawai dan anggota polis yang terbabit sindiket supaya kembali ke pangkal jalan. Apabila ada pegawai dan anggota yang dibuang kerja selepas berkhidmat 10 tahun, ia akan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian berjuta ringgit,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan terhadap semua rampasan dadah dilakukan PDRM, beliau berkata ia menjadi barang kes sehingga perkara itu diputuskan mahkamah.
“Apabila dadah dikembalikan kepada JSJN, kita akan melaksanakan pelupusan mengikut kaedah diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Kebiasaannya, pelupusan dilaksanakan dengan membakar barangan terbabit dan ada syarikat dilantik JAS itu sendiri,” katanya.