TAJ MAHAL MULA TERIMA PENGUNJUNG
Berita Global
TAJ MAHAL MULA TERIMA PENGUNJUNG
AGRA (INDIA): India membuka semula Taj Mahal kepada pelawat hari ini ketika negara itu dilihat bakal mengatasi Amerika Syarikat (AS) di peringkat global dalam kes jangkitan COVID-19.
Pegawai kanan arkeologi menjaga Taj Mahal, Vasant Swarnkar, berkata peraturan ketat dilaksanakan kepada pelawat seperti penjarakan fizikal, mengehadkan jumlah pengunjung kepada 5,000 orang sehari dan membeli tiket dalam talian.
“Bulatan untuk pelawat ditandakan, pemakaian pelitup muka diwajibkan dan semua pengunjung perlu melalui imbasan haba,” katanya.
Taj Mahal adalah makam yang dibina daripada marmar putih terkenal di dunia terletak di selatan New Delhi, destinasi pelancongan paling popular di India.
Ia biasanya mampu menarik kedatangan tujuh juta pengunjung setahun, tetapi ditutup sejak Mac lalu akibat penularan pandemik COVID-19.
India yang memiliki populasi 1.3 bilion penduduk merekodkan 5.4 juta kes jangkitan COVID-19 setakat ini. Kira-kira 100,000 jangkitan baharu dan 1,000 kematian dilaporkan setiap hari di negara itu.
Selepas perintah sekatan yang ketat sejak Mac lalu menyaksikan kehidupan 10 juta penduduk terjejas, Perdana Menteri, Narendra Modi, tidak lagi mengikut jejak langkah beberapa negara yang mengetatkan aktiviti harian rakyat.
Beliau sebaliknya melonggarkan beberapa sekatan sebelum ini termasuk membenarkan perjalanan kereta api, penerbangan domestik, pasar dibuka, restoran dan kini mengunjungi Taj Mahal.
Namun di tempat lain, terutama di kawasan luar bandar yang mana jangkitan dilihat terus meningkat, ia menunjukkan garis panduan ditetapkan kerajaan bagi mengelak jangkitan COVID-19 sering diabaikan.
“Saya rasa, bukan di India saja, tetapi di seluruh dunia. Manusia ‘letih’ dengan langkah ekstrim diambil untuk menyekat penularan COVID-19,” kata profesor fizik dan biologi di Universiti Ashoka, Gautam Menon.