3 KEMATIAN DIREKODKAN HARI INI
3 KEMATIAN DIREKODKAN HARI INI
PUTRAJAYA: Tiga kes kematian disebabkan COVID-19 dilaporkan hari ini di Sabah, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 348 kes atau 0.57 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata masing-masing satu kematian dilaporkan di Hospital Duchess of Kent di Sandakan, Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Tawau.
“Kes kematian ke-346 ialah wanita warganegara berusia 70 tahun dan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent.
“Kematian ke-347 membabitkan lelaki warganegara berusia 59 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi dan asma.
“Kematian ke-348 pula membabitkan wanita warganegara berusia 77 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi. Kematian wanita ini disahkan di Hospital Tawau,” katanya dalam kenyataan disiarkan BH Online.