SK KUALA MEDANG ASRAMA TERBAIK
TERIMA ANUGERAH SERI ASRAMA TERBILANG PERINGKAT KEBANGSAAN 2020
LIPIS: Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Medang yang mewakili negeri Pahang dinobatkan sebagai asrama terbaik dan menerima Anugerah Seri Asrama Terbilang (ASAT) Peringkat Kebangsaan 2020 yang diumumkan baru-baru ini.
Guru Besar SK Kuala Medang, Mohd Shawaluddin Abu berkata berkat kesungguhan semua guru dan kakitangan telah memberi usaha terbaik dengan pengorbanan masa dan wang ringgit untuk memastikan kejayaan dicapai.
“Saya bersyukur berkat sokongan semua pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lipis termasuk Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah ini serta komuniti setempat yang tidak berbelah bagi membantu dan menyokong kami.
“Tidak lupa Datuk Menteri Besar turut memberi sokongan dan dorongan untuk memperolehi kejayaan di peringkat kebangsaan di samping murid-murid yang turut bekerjasama menjayakan beberapa projek ke arah kejayaan ini,”katanya
Katanya, penilaian dilakukan oleh pihak juri berdasarkan lima standard kualiti pengurusan asrama iaitu kepimpinan, hala tuju, pengurusan asrama, pembangunan sahsiah, pengurusan aktiviti dan program murid, selain itu pengurusan prasarana, kemenjadian murid dan pematuhan kontrak kerajaan.
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Musliha Kamal berkata semua guru dan kakitangan telah memberi usaha terbaik dengan melakukan persiapan sebaik sahaja penilaian juri memilih sekolah itu untuk mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan.
“Kerjasama semua pihak termasuk ibubapa sekolah menerusi PIBG membuahkan hasil yang berbaloi dan juga tidak lupa pejabat Menteri Besar turut memberi sokongan moral yang tidak terhingga.
“Seramai 39 murid yang menghuni di asrama berasal dari kampung sekitar Kuala Medang, Kampung Serau dan FELDA Sungai Koyan turut membantu mencorakkan kejayaan asrama sekolah serta mengharumkan nama sekolah ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan sekalung tahniah kepada pihak sekolah atas kerjayaan yang dikecapi kerana sekolah itu terletak di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.