4 INDIVIDU TERIMA DARJAH DMIJ SULTAN JOHOR
SULTAN JOHOR KURNIA DARJAH DMIJ KEPADA EMPAT INDIVIDU
JOHOR BAHRU: DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran Dato’ kepada empat individu.
Memetik laporan Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Majlis penganugerahan berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Tuanku Sultan Ke-62 pada hari ini (22 November).
Berangkat sama, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Azmi Rohani.
DMIJ dianugerahkan kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Salehuddin Hassan; Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Aman Rabu; Mejar Cina David Wong Khong Soon dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), Avinderjit Singh Harjit Singh.
David Wong yang juga dari keturunan Wong Ah Fook dilantik sebagai Mejar Cina di atas perkenaan DYMM Sultan Johor pada September lalu.
Beliau menjalankan tugas dan bekerjasama dengan YSIJ dalam menyelaras, mengatur dan melaksanakan pengagihan kurniaan barangan keperluan makanan kepada Bangsa Johor.