UMNO SEDIA LAWAN BERSATU PRU-15
UMNO SEDIA LAWAN BERSATU PRU-15
KUALA LUMPUR: UMNO Selangor sedia bertembung dengan BERSATU pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Badan Perhubungannya, Tan Sri Noh Omar.
Katanya, pertembungan dengan BERSATU tidak dapat dielak jika parti tersebut tiba-tiba muncul meletakkan calon di kerusi yang akan ditandingi UMNO dan PAS, seperti dipersetujui kedua-dua parti menerusi Muafakat Nasional (MN).
PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO SELANGOR TAN SRI NOH OMAR
“Setakat ini kita UMNO tidak bersama dia (BERSATU). Kalau terpaksa bertembung maka bertembunglah. Bagi kita (UMNO) bertembung dengan BERSATU ok.. tetapi jangan bertembung dengan PAS.
“Sebab kita dan PAS dah ada MoU dalam MN.. jadi kalau PAS tak nak bertembung dengan BERSATU di kerusi itu, maka kita akan ambil kerusi itu,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Malaysiapost.
Noh berkata, UMNO dan PAS sebelum ini telah bersetuju dalam soal pembahagian kerusi di Selangor bagi menghadapi PRU-15.
Katanya, prinsip dipegang kedua-dua parti ketika ini jelas iaitu tidak akan bertembung di mana-mana kerusi.
“Di mana ada kerusi UMNO, di situ ada kerusi PAS. Contohnya sebegini di Parlimen ada tiga kerusi.. PAS ambil Parlimen, dua kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) UMNO akan ambil dan begitulah sebaliknya.
“Di mana ada UMNO di situlah ada PAS. Kita bersama-sama dengan syaratnya kita tidak akan bertembung. Itu yang kita persetujui setakat hari ini. Urusan kerusi kita dengan PAS di Selangor ini sudah selesai,” katanya.
Beliau juga melahirkan keyakinan UMNO dan PAS mampu merampas semula Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).
“Dari segi Parlimen kita ada 14 dari 22 kawasan Parlimen yang mempunyai pengundi Melayu lebih 50 peratus. Kemudian peringkat DUN daripada 56 kerusi kita ada 36 kerusi majoritinya lebih 50 peratus adalah Melayu.
“Jika kita bertanding Melayu solid bersama penyokong UMNO, PAS ini serta pengundi Melayu ini bersepakat di 36 kerusi itu, insya-Allah kita boleh tubuh kerajaan,” katanya.