541 PENEROKA JENGKA 7 TERIMA SUNTIKAN VAKSIN
541 PENEROKA JENGKA 7 TERIMA SUNTIKAN VAKSIN
MARAN: Seramai 541 orang peneroka Felda Jengka 7, termasuk masyarakat Orang Asli masing-masing menerima suntikan vaksin dos pertama di Sekolah Kebangsaan Jengka 7, hari ini.
Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, Felda Jengka 7 sudah dua kali dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), maka sesuai suntikan vaksinasi diberi kepada penduduk di Felda itu.
“Kali ini kita membawa pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Maran untuk menjalankan suntikan vaksinasi di sini sebagai memudahkan masyarakat di kawasan ini menerima suntikan tanpa bergerak jauh.
“Mereka tidak perlu ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang sedia ada kerana bakal mendatangkan kesukaran untuk bergerak serta mengambil masa yang lama,” katanya di lokasi pemberian vaksin di sini, hari ini.
Katanya, setakat ini daerah Maran masih tidak mencapai sasaran 80 peratus untuk mendapat suntikan, Maran mempunyai kira-kira 150,000 penduduk, diharap suntikan dapat disegerakan bagi menyekat penularan wabak menjelang bulan Julai ini.
“Saya gembira ramai masyarakat Orang Asli sudah memberi gambaran yang positif berkaitan dengan suntikan ini, malah mereka tidak sabar untuk mendapatkan suntikan kerana sebelum ini mereka banyak dimomokkan oleh golongan anti-vaksin.
“Terima kasih kepada semua anggota pasukan yang melaksanakan suntikan vaksin pada hari ini yang berusaha melaksanakan dengan baik,”katanya.
Katanya, semua anggota masyarakat diharap sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi membenteras penularan wabak supaya boleh hidpu seperti biasa.-SAHIH.