36 Siswa USIM anjur Sentuhan Kasih bersama kanak-kanak mengidap kanser
Foto atas : Peserta menyertai Program pertanian anjuran Kelab Agrosis Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bergambar kenangan
36 Siswa USIM anjur Sentuhan Kasih bersama kanak-kanak mengidap kanser
KUALA LUMPUR – Program pertanian anjuran Kelab Agrosis Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berfokuskan keluarga dan dirancang khusus untuk anak-anak yang sedang menjalani rawatan kanser telah diadakan di Rumah Ronald, Pusat Perubatan Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, baru-baru ini.
Program dikenali sebagai “Sentuhan Kasih,” membawa bersama keluarga yang mempunyai anak yang memerlukan rawatan kanser untuk bersatu dan mengeksplorasi dunia pertanian.
Seorang ibu yang menyertai program melawan kanser itu, Nurul Husna Kamal berkata, program itu dianjurkan dengan tujuan untuk membawa kegembiraan dan memberikan pengalaman positif kepada kanak-kanak yang melalui masa yang mencabar.
“Aktiviti seperti menanam tanaman, pertandingan mewarna gambar sayur-sayuran dan pertandingan kolaj telah menjadi pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan untuk kanak-kanak.
“Ini adalah pengalaman yang menakjubkan untuk kami, anak saya sangat gembira bermain dan mengenali tumbuh-tumbuhan, terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini” katanya ketika ditemui.
Pengerusi program Sentuhan Kasih, Muhammad Taufiq berkata, dalam program ini sebagai satu inisiatif yang lebih luas, seramai 36 mahasiswa USIM yang menyumbang dalam program ini memberikan bimbingan dan menyediakan sumber daya pertanian.
“Kami sangat gembira dapat memberikan sokongan kepada anak-anak ini dan keluarga mereka, pertanian bukan hanya tentang hasil tani, tetapi juga tentang menyuburkan jiwa.
“Pengalaman seperti ini memberi kesan positif terhadap psikologi kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan kanser,” katanya.
Muhammad Taufiq menambah, kanak-kanak yang menyertai program ini menunjukkan kegembiraan dan kepuasan melalui keterlibatan dalam aktiviti-aktiviti pertanian.
“Acara ini bukan sahaja dapat memberikan pengalaman pertanian kepada keluarga kanak-kanak kanser itu, malah boleh memberi peluang kepada keluarga ini untuk berkongsi pengalaman dan sokongan.
“Perkongsian cerita dan ketawa, mereka dapat membentuk hubungan yang lebih kukuh dan menggalakkan satu sama lain untuk menghadapi cabaran bersama-sama,” katanya.
Salah seorang mahasiswa USIM dari Kelab Agrosis, Nur Anati Syahirah Salleh yang turut memimpin dan menjayakan setiap aspek program ini sedar bahawa “Sentuhan Kasih” bukan sekadar menanam benih di dalam tanah, tetapi juga menanam harapan dalam hati kanak-kanak yang melawan kanser dan keluarga mereka.
“Semoga semangat ihsan ini menjadi sumber inspirasi kepada generasi mahasiswa akan datang, meneruskan legasi keprihatinan dan pemerkasaan dalam membantu mereka yang memerlukan.
“Harapan mahasiswa USIM supaya lebih dedikasi dan semangat positif yang dibawa bersama dalam program ini untuk terus memberi inspirasi dan kekuatan kepada mereka yang terlibat,” katanya. -SAHIH.