200 serta perhimpunan Moyang Long dan Haji Ahmad di Guai
200 serta perhimpunan Moyang Long dan Haji Ahmad di Guai.
BERA -Kira-kira 200 orang dari keturunan moyang Awang Long, Haji Ahmad dan Salleh telah berkumpul di laman Teratak Abang Din di Kampung Tok Langit, Mengkarak, Bera, baru-baru ini.
Namun, keluarga moyang Salleh masih belum dapat dijejaki dan dipercayai berada di Muar dan seorang lagi moyang didakwa berada di Sumatera dan usaha mencari nama dan tempat tinggal mereka akan diusahakan.
Penyelaras perhimpunan itu, Saruji Abdul Aziz berkata, semasa dia dan beberapa orang ahli keluarga dari Guai, Bera mula berhubung di dalam aplikasi Whatsapp dan masing-masing berkeinginan dan teruja untuk mengadakan pertemuan itu.
“Semasa berbual, kami terfikir untuk mengadakan perhimpunan itu dan perancangan dilakukan kira-kira 4 bulan sebelum perhimpunan ini direalisasikan.
“Awalnya, kami merancang di samping menjejaki ahli keluarga di negeri Pahang terlebih dahulu, bersyukur kerana dapat menghimpunkan kira-kira 200 orang bermula pangkat datuk sehingga cicit dan peringkat muda.
“Kami mempunyai pertalian persaudaraan di Raub, Lipis, Bentong, Temerloh, Kuantan dan yang ramai berada di Pulau Tawar, Jerantut dan Guai, Bera dan Isya Allah akan menjejaki yang jaluran keluarga yang berada di Muar,” katanya.
Katanya, tujuan mengadakan perhimpunan itu untuk merapatkan tali persaudaraan yang agak terpisah, khususnya di Muar dan Sumatera.
“Mujur dalam bualan dalam media sosial, saya bermula ‘terjumpa’ darah daging di Guai selepas menyusul salasilah persaudaraan,” katanya.
Ahli keluarga antara yang tertua, Abdullah Arshah Salehuddin (85) yang tinggal di Kerdau, Temerloh turut hadir mencerita secara ringkas pertalian persaudaraan.
“Kita ada moyang yang berada di Muar, tapi tidak tahu di mana, malah ada juga di Sumatera kerana merantau ketika itu, diharapkan ‘orang muda’ terus jejaki mereka.
“Malah perantauan mereka bukan sekadar ‘makan angin’ sebaliknya mencari dan mendalami ilmu keagamaan dan lama kelamaan terputus hubungan,” katanya.
Seorang ahli keluarga jalur Haji Ahmad yang tinggal di Jerantut, Nasruddin Ramli, berkata, Aallahyarham ayahnya pernah bercerita jaluran keluarga yang bermula daripada Awang Long yang mempunyai empat anak.
“Kemudian anaknya di jaluran Haji Ahmad (Pulau Tawar) mempunyai lima anak termasuk arwah ayah saya.
“Pertemuan ini bermakna kerana saya masih tidak kenal keluarga khususnya di sebelah Guai (Bera) dan dimaklumkan keluarga Salleh yang berada di Muar yang masih belum dijejaki,” katanya.
Seorang ahli keluarga jaluran dari Guai, Abdul Ghafar Abdul Rahman berkata, perhimpunan ini sangat dialu-alukan sebagai merapatkan siratulrahim antara keluarga yang terpisah.
“Selain itu, mungkin menubuhkan koperasi keluarga berasaskan ternakan ikan air tawar dengan menggunakan kepakaran yang dimiliki oleh ahli keluarga terutama yang berada dan tinggal di pesisir Sungai Pahang di Pulau Tawar dan Guai,” katanya.
Seorang ahli keluarga, lebih mesra dengan panggilan Mak Ngah Hawa (86), berharap perhimpunan seperti ini akan diadakan setiap tahun terutama semasa sambutan hari raya Aidil Fitri.-SAHIH.