2 MAUT KEMALANGAN BALIK TARAWIH
2 MAUT KEMALANGAN BALIK TARAWIH
KOTA BHARU: Dua maut, seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kampung Kukang, Jalan Perol di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 10 malam itu, Mohamad Yusoff, 70, dan Farahan Cheteh, 17, maut di lokasi kejadian, manakala Muhammad Soleh, 17, yang juga anak warga emas terbabit parah.
Difahamkan Mohamad dan anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat Tarawih di masjid berhampiran.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, warga emas itu menunggang motosikal Honda C100 bersama anaknya dari arah Peringat ke Perol.
“Sebaik tiba di lokasi, motosikal itu membelok ke kanan untuk masuk ke lorong tali air menuju ke rumahnya tanpa menyedari sebuah motosikal datang dari arah bertentangan.
“Berlaku perlanggaran secara berhadapan yang menyebabkan kesemua mangsa tercampak atas jalan mengakibatkan warga emas dan Farahan yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Abdul Rahim berkata, Muhammad Soleh dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan lanjut akibat cedera di bahagian muka.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.
Dalam kes berasingan, seorang buruh binaan maut dalam kemalangan ketika ingin ke tempat kerja di Bandar Baru Tunjong, di sini, pagi tadi akibat terbabas sendirian, lapor Harian Metro.
Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku pada 7.30 pagi itu apabila mangsa, Norhisam Mohd Nor, 47, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Pasir Hor menghala ke tempat kerjanya.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, dipercayai motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan dan terbabas sebelum terlanggar pembahagi jalan.
“Mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat.
“Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.