120 MAT REMPIT TOLAK MOTOSIKAL
TAIPING: Seramai 120 penunggang serta pembonceng motosikal terpaksa menolak motosikal masing-masing kira-kira sejam untuk sampai ke Balai Polis Batu Kurau.
Ia selepas mereka ditahan dalam Op Samseng Jalanan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Taiping dibuat di Jalan Besar Jelai berdekatan Kampung Jelai bermula 5 petang.
Gambar Hiasan
Katanya, sebanyak 42 motosikal disita, selain 134 saman dikeluarkan dalam operasi itu.
“Sebanyak 98 motosikal diperiksa dalam operasi ini, namun tiada tangkapan dibuat bagi mana-mana peruntukan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987, begitu juga bagi kesalahan lain seperti jenayah dan narkotik,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Difahamkan, kesemua yang ditahan terpaksa menolak motosikal kira-kira enam kilometer dari lokasi operasi berhampiran Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Jelai dan sering menjadi tumpuan mat motor.
Difahamkan juga antara kesalahan yang dilakukan adalah modifikasi keterlaluan khususnya pada bahagian ekzos, tiada nombor plat pendaftaran, serta nombor plat tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan.
Sumber: Harian Metro