100 RUMAH ROSAK DILANDA RIBUT
100 RUMAH ROSAK DILANDA RIBUT
SEPANG: Ribut yang merosakkan kira-kira 100 rumah penduduk di Zon Bandar Baru Salak Tinggi Utara semalam adalah yang terburuk dan pertama kali berlaku di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid berkata, ribut yang dilaporkan berlaku pada 4.30 petang semalam disusuli hujan lebat itu menerbangkan atap rumah penduduk.
Menurutnya, setakat ini jumlah kerugian belum dapat dipastikan kerana pihaknya masih melakukan bancian.
Katanya, pagi ini pihaknya membuka kaunter pendaftaran di balai raya taman berkenaan bagi mendapatkan data sebenar untuk menyalurkan Bantuan Wang Ehsan Kerajaan Selangor kepada pemilik rumah untuk membaiki kerosakan kediaman.
“Kami juga meminta penduduk membuat laporan polis dan mengambil gambar kerosakan sebelum membuat pendaftaran,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke kawasan perumahan Taman Seroja di sini, hari ini.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Mohamad Zain berkata, tiga sekolah turut mengalami kerosakan bumbung iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Bandar Baru Salak Tinggi, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja, SK Salak dan SK Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lapor Harian Metro.
Katanya, tiada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).