UMNO Jerantut sudah buat yang terbaik di Kemasul
UMNO Jerantut sudah buat yang terbaik di Kemasul
BENTONG – Sepanjang 14 hari kempen sempena PRK Pelangai yang berakhir Sabtu lalu, pelbagai usaha dilakukan UMNO Bahagian Jerantut untuk menjaga kawasan FELDA Kemasul yang diamanahkan kepada mereka.
Deretan program turun padang diatur bagi mendekati pengundi di kawasan tanah rancangan itu.
AJK UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, walaupun peti undi FELDA Kemasul tidak berjaya ditawan UMNO, namun ia tidak mematahkan semangat mereka.
“Kami berdepan banyak cabaran di Kemasul untuk memahami dan mengenali kehendak pengundi di situ.
“Boleh dikatakan setiap hari program ziarah kasih dan turun padang dilakukan di situ untuk mendekati mereka.
“Dalam sehari, dalam empat lima jam sahaja kami berehat, selebihnya kami gunakan setiap masa yang ada untuk memenangi hati pengundi di situ.
“Kita sudah cuba tawarkan yang terbaik untuk mereka dan saya percaya, mereka akan kembali bersama BN dalam PRU16,” katanya.
Razak berkata, trend pengundian di Kemasul agak sukar dijangka memandangkan masih ramai anak muda memilih calon PN.
Katanya, ini mungkin disebabkan pemahaman mereka terhadap kepentingan politik atau termakan dengan corak kempen tidak sihat oleh pembangkang.
“Namun, kami dapat melihat ada perubahan berlaku di situ, pengundi muda masih yakin dengan kerajaan BN dan dalam masa tiga-empat tahun akan datang, mungkin mereka akan kembali bersama kita,” katanya lagi.
Dia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua jentera UMNO Bahagian Jerantut dan Bahagian lain yang turut sama dalam kempen PRK Pelangai.
Katanya, kejayaan UMNO-BN mengekalkan kerusi tradisi itu juga membuktikan Gelombang Hijau tidak laku di Pahang.
“Tahniah kepada wakil rakyat yang baru dipilih, Datuk Amizar Abu Adam dan kami yakin beliau akan meneruskan legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun di Pelangai,” katanya. – SAHIH