ANGKASA raih anugerah, mahu tembusi pasaran Indonesia, Thailand
ANGKASA raih anugerah, mahu tembusi pasaran Indonesia, Thailand
KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus mengukuhkan kedudukannya di peringkat serantau apabila menerima pengiktirafan IMT-GT Trade & Investment Award 2026 bagi kategori perdagangan dan pelaburan.
Pengiktirafan itu diterima pada majlis IMT-GT Regional Business Excellence Awards (RBEA 2026) yang berlangsung di KLGCC Convention Centre, di sini, Jumaat lalu.
Anugerah berkenaan disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam kepada Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.
Abdul Fattah berkata, pengiktirafan itu membuktikan gerakan koperasi mempunyai potensi besar untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh perdagangan dan pelaburan di peringkat serantau.
Katanya, ANGKASA komited memperluas jaringan kerjasama strategik bagi membolehkan lebih banyak koperasi tempatan meneroka peluang perniagaan di luar negara.
“ANGKASA komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama strategik serta membuka lebih banyak peluang kepada koperasi Malaysia untuk meneroka pasaran Indonesia dan Thailand, sekali gus meningkatkan daya saing gerakan koperasi dalam ekosistem ekonomi serantau,” katanya.
Sementara itu, Mohd Ali berkata, hubungan strategik antara Malaysia, Indonesia dan Thailand perlu terus diperkukuh bagi membuka peluang ekonomi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
Katanya, ketiga-tiga negara mempunyai potensi besar untuk meningkatkan kerjasama ekonomi menerusi pembinaan kepercayaan, pengukuhan hubungan strategik dan galakan kepada sektor perniagaan meneroka pasaran rentas sempadan.
Beliau berharap penganjuran majlis itu dapat membuka lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan dan kerjasama dalam rantau Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Sebanyak 25 penerima daripada 32 pencalonan menerima pengiktirafan pada majlis anjuran IMT-GT Joint Business Council (JBC) berkenaan.
Antara kategori yang dipertandingkan ialah perdagangan dan pelaburan, kelestarian hijau, transformasi teknologi dan digital serta kecemerlangan infrastruktur dan kesalinghubungan.
IMT-GT yang ditubuhkan pada 1993 membabitkan 35 negeri dan wilayah di Malaysia, Indonesia serta Thailand sebagai platform memperkukuh pembangunan ekonomi serantau.-SAHIH
#ANGKASA #IMTGT #KoperasiMalaysia #PerdaganganSerantau
