Tambang ECRL Gombak-Kota Bharu serendah RM125 sehala
Tambang ECRL Gombak-Kota Bharu serendah RM125 sehala
GOMBAK: Tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu, Kelantan sejauh 523 kilometer ditawarkan bermula RM125 sehala bagi perkhidmatan transit kelas ekonomi.
Bagi perkhidmatan ekspres untuk laluan sama, tambang bermula RM147 sehala apabila operasi komersial ECRL dijangka bermula pertengahan Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, Jemaah Menteri meluluskan cadangan pelaksanaan tambang berasaskan mekanisme harga dinamik.
Katanya, mekanisme itu membolehkan kadar tambang berubah mengikut waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk.
“Untuk perjalanan dari Gombak ke Kuala Terengganu, tambang transit bermula RM95 manakala ekspres bermula RM110.
“Sementara itu, bagi perjalanan Gombak ke KotaSAS di Kuantan, tambang transit bermula RM60 dan ekspres bermula RM68,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman kadar tambang ECRL di sini, semalam.
Darwis berkata, ECRL menyediakan dua jenis perkhidmatan iaitu transit yang berhenti di setiap stesen dan ekspres yang hanya berhenti di empat stesen utama.
Empat stesen berkenaan ialah Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.
Katanya, Jemaah Menteri turut meluluskan diskaun tambang sebanyak 50 peratus kepada kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun, warga emas berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesara kerajaan.
“Pelajar berusia 13 hingga 24 tahun pula layak menikmati diskaun sebanyak 40 peratus,” katanya.
Menurutnya, ECRL turut menawarkan tiga pilihan kelas tempat duduk iaitu ekonomi, ekonomi premium dan perniagaan bagi memenuhi keperluan penumpang.
Sementara itu, Darwis berkata, kemajuan keseluruhan projek ECRL kini mencapai 98.16 peratus setakat Oktober 2026.
Katanya, ujian penerimaan tapak (SAT) dan ujian integrasi sistem (SIT) sudah disempurnakan sepenuhnya.
“Ujian tren yang bermula pada 25 Ogos lalu sudah mencatatkan jarak terkumpul melebihi 50,000 kilometer.
“Ujian Fault-Free Running (FFR) pula dijadualkan bermula pada 23 Oktober ini sebelum operasi percubaan dilaksanakan sepanjang November,” katanya.-SAHIH
#ECRL #TambangECRL #MRL #PantaiTimur
