Tok Batin bangga Sultan Selangor berjiwa rakyat
Tok Batin bangga Sultan Selangor berjiwa rakyat
KLANG: Keprihatinan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap kebajikan rakyat termasuk masyarakat Orang Asli menjadi antara perkara yang paling dihargai sepanjang 25 tahun pemerintahan baginda.
Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Rasau Hilir, Puchong, Baharuddin Baka berkata, hubungan erat antara institusi diraja Selangor dengan masyarakat Orang Asli sudah terjalin sejak beberapa generasi lalu.
Katanya, beliau berbangga kerana berpeluang menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor di Istana Alam Shah, di sini, semalam.
“Saya sebagai Orang Asli, saya sangat gembira.
“Berbanggalah sebab kita ada Tuanku yang berjiwa rakyat, mesra dengan rakyat dan membantu Orang Asli.
“Hubungan ini sudah terjalin sejak zaman nenek saya sehinggalah kepada saya sekarang, iaitu generasi kelima atau keenam,” katanya.
Baharuddin berkata, jemputan menghadiri majlis berkenaan amat bermakna kerana ia adalah kali kedua beliau berpeluang menyertai acara yang turut dihadiri Sultan Selangor.
Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Nuryasmin Humairah Yusrizal berkata, beliau menghargai pelbagai bantuan kebajikan dan pendidikan yang disediakan kepada rakyat sepanjang pemerintahan baginda.
“Saya membesar dan bersekolah di Selangor sejak sekolah rendah. Saya rasa bantuan yang diberikan memang banyak termasuk bantuan makanan kepada murid B40, buku dan biasiswa,” katanya.
Seorang lagi pelajar UiTM Shah Alam, Muhammad Ismail Hasran berkata, beliau berharap Selangor terus mengalami pembangunan dan perubahan seiring kemajuan teknologi.
“Harapan saya untuk Selangor yang kini sudah maju adalah supaya lebih banyak perubahan moden dapat dilaksanakan pada masa depan,” katanya.
Kedua-dua pelajar itu turut melahirkan rasa teruja kerana pertama kali berpeluang melihat Sultan Selangor secara dekat.
Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat berkenaan dihadiri lebih 3,000 rakyat dari Klang, Petaling, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.
Program itu adalah siri pertama daripada lima siri yang dirancang sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.-SAHIH
#SultanSelangor #JubliPerak #OrangAsli #IstanaAlamShah
