Projek perumahan terbengkalai dijangka siap awal 2027
Projek perumahan terbengkalai dijangka siap awal 2027
GOMBAK: Penantian pembeli rumah di Residensi Hektar Gombak, Jalan Gombak, untuk memiliki kediaman sendiri dijangka berakhir tahun depan selepas projek yang pernah terbengkalai itu kini mencapai kemajuan fizikal 92.67 peratus.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya dan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada suku pertama 2027.
Katanya, penyerahan milikan kosong kepada pembeli pula dijadualkan pada suku kedua tahun sama.
“Daripada situ, kita akan cuba bantu memastikan pemaju dapat menyiapkan projek dan memperoleh CCC pada suku pertama 2027, manakala penyerahan milikan kosong kepada pembeli pada suku kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Residensi Hektar Gombak, di sini, hari ini.
Aiman Athirah berkata, projek perumahan berkenaan sebelum ini terhenti sejak Disember 2022 sebelum kerja pembinaan disambung semula pada 21 September 2025.
Katanya, penyambungan semula projek itu adalah hasil bantuan dan intervensi pihak berkaitan bagi memastikan pembinaan dapat diteruskan sehingga siap.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 33 lawatan kerja ke projek perumahan berstatus lewat dan sakit dilaksanakan sehingga Ogos lalu.
Menurutnya, hasil intervensi dan penyelarasan tindakan susulan yang dijalankan, sebanyak 23 projek berjaya memperoleh CCC.
Sementara itu, mengulas aduan berhubung tindakan segelintir pembeli menyewakan unit kediaman kepada warga asing, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berkaitan.
Katanya, sebarang maklumat atau aduan boleh dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Perumahan Negara (JPN) bagi membolehkan pemantauan dan siasatan lanjut dijalankan.-SAHIH
#ResidensiHektarGombak #RumahTerbengkalai #KPKT #Perumahan
