TEMBAK KAKI JIRAN DISANGKA HAIWAN PEROSAK
TEMBAK KAKI JIRAN DISANGKA HAIWAN PEROSAK
Baling: Akibat disangka haiwan perosak tanaman, seorang lelaki cedera di kedua belah kaki akibat ditembak jirannya dengan senapang patah di belakang rumah di Kampung Ulu Tawar, di sini, semalam.
Kejadian berlaku pada jam 7.30 pagi ketika mangsa, Muhamad Syukri Ahmad, 32, yang berada di atas pokok getah sedang memikat burung.
Sepupunya, Fadir Yahya, 60, berkata, ketika kejadian abang kepada Muhamad Syukri mendengar bunyi tembakan dan jeritan adiknya dari belakang rumah.
Menurutnya, abang mangsa bergegas ke tempat kejadian dan mendapati Muhamad Syukri masih berada di atas pokok dan dalam keadaan tidak bermaya.
“Ketika itu, kedua belah kakinya cedera akibat ditembak dan abangnya membawa turun mangsa ke bawah.
“Saya difahamkan individu yang menembaknya bertindak membawanya ke Klinik Kesihatan Malau bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menahan suspek berusia 65 tahun yang disyaki tertembak mangsa di lokasi kejadian semalam dan sudah dibebaskan selepas keterangan diambil.
“Namun kita merampas selaras senapang patah milik suspek untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960, lapor HM online.
“Hasil siasatan mendapati, suspek disyaki melepaskan tembakan kerana menyangka mangsa adalah haiwan perosak tanaman di situ,” katanya.