Tapak bina hospital Maran mungkin tukar lagi
Tapak bina hospital Maran mungkin tukar lagi
Projek pembinaan hospital Maran, Pahang yang tertangguh sejak 2016, dijangka terus berdepan masalah apabila cadangan tapak asal sebelum ini ditukar ke lokasi lain.
Tahun lalu, tapak projek bernilai kira-kira RM300 juta itu dicadangkan dibina berhampiran Kampung Orang Asli Batu 55,Jalan Kuala Sentul-Maran, namun terdapat cadangan baru untuk membawanya ke kawasan sekitar pekan Sri Jaya.
Ahli parlimen Maran, Ismail Abdul Mutalib berkata, perubahan lokasi berkenaan hanya akan menambahkan lagi kos dan membuang masa.
“Projek ini diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) oleh bekas perdana Menteri, Najib Razak dan sudah enam tapak kita kenal pasti sejak ia diluluskan.
“Tapak terakhir dan difikirkan paling sesuai yang dicadangkan adalah di kawasan lapang sasar (Kampung Orang Asli Batu 55) dan kerja tanah juga sudah dimulakan di situ.
“Namun, saya dengar ada cadangan baru untuk membawanya ke lokasi lain, tapak pertama yang pernah dicadangkan dan ditolak sebelum ini.
“Bukankah ini satu kerja bodoh… sejak awal lagi tapak itu kita dah tolak dan sekarang nak buat di tapak sama,” katanya ketika ditemui di Maran, semalam.
Dia turut mengingatkan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan projek hospital Maran yang turut memiliki kemudahan penyelidikan penyakit berjangkit pertama di Pantai Timur, diteruskan seperti diluluskan.
Katanya, kegagalan meneruskan pembinaan hospital itu akan memberi kesan besar kepada kira-kira 140,000 penduduk di daerah berkenaan.
“Saya selalu ingatkan kepada pihak berkaitan dengan projek ini, kalau mereka tidak teruskan, bermakna mereka mengkhianati Najib yang bertanggung jawab meluluskan pembinaan hospital tersebut.
“Masalahnya projek ini dah diluluskan, dah ada dalam rekod Perbendaharan… dinyatakan secara jelas seperti diumumkan ketika RMK-11.
“Sebagai perdana Menteri pada masa itu, Najib sudah meneliti dan mendapati ada keperluan untuk menyegerakan pembinaan hospital di daerah Maran dan perlu disiapkan seperti dirancang,” katanya lagi.
Ketika ini, penduduk di Maran mempunyai tiga pilihan untuk mendapatkan rawatan di hospital jika berlaku kecemasan.
Pilihan pertama ialah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh yang jaraknya 48 kilometer, diikuti Hospital Jengka, Bandar Pusat Jengka sejauh 55 kilometer dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan yang jaraknya lebih 70 kilometer.
Ismail turut menyatakan rasa kurang senang apabila terdapat cadangan menggantikan pembinaan hospital itu kepada Pusat Kesihatan Maran yang baru.
Katanya, sepatutnya projek asal adalah pembinaan hospital dan bukan hanya sekadar bertaraf pusat kesihatan.
“Takkanlah dari hospital kita nak tukar jadi pusat Kesihatan, itu tak betul… kerja bodoh namanya, dah elok dapat hospital tiba-tiba dapat pusat Kesihatan,” katanya.-SAHIH