Gempa Bumi Melanda Indonesia, Gegaran Dirasai Hingga Ke Semenanjung

SHAH ALAM – Gempa bumi berukuran 6.2 skala richter berlaku di pusat gempa bumi pada 76 kilometer barat laut Payakumbuh, Indonesia pagi ini menyebabkan gegaran kuat turut dirasai di Lembah Klang.

Satu hantaran daripada akaun Twitter @infoBMKG, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia gempa bumi berlaku di 17 kilometer (km) ke timur laut Pasaman Barat pada kedalaman 10 km.

Gegaran turut dirasakan sekitar Pelabuhan Klang, Cyberjaya, Shah Alam dan beberapa kawasan lain. Bagaimanapun, kejadian ini tidak berpotensi berlakunya tsunami.

Jabatan Meteorologi Malaysia, @metmalaysia juga membuat hantaran di akaun Twitter untuk pemberitahuan mengenai gempa bumi yang berlaku di Semenanjung.

Laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia juga memberi maklumat mengenai gampa bumi yang berlaku pagi ini.

Orang awam turut berkongsi video kejadian yang merasakan gegaran di Sunway, Sungai Way dan semua kakitangan yang berada dalam bangunan diarahkan keluar.

Pekerja swasta, Nik Waney, 24, yang bekerja di Menara PKNS, Petaling Jaya berkata gegaran turut dirasai kerana lokasi pejabatnya berada di tingkat 12.

‘Saya duduk di tepi tingkap dan tiba-tiba terasa gegaran dan diarah turun keluar dari bangunan ini dengan kadar segera.

‘Saya memang terkejut dan takut kerana sebelum ini tidak pernah merasakan gempa bumi sepanjang hidup saya,” katanya.

Sementara itu, gegaran kuat turut dirasai di Bangunan Wisma BERNAMA, Jalan Tun Razak kira-kira jam 9.35 pagi ini.

Semua kakitangan memaklumkan gegaran berlaku kira-kira 5 minit sebelum semua warga kerja Bernama bergegas keluar dari bangunan berkenaan bagi tujuan keselamatan.-SAHIH.