Beli Stok Sayur Banyak Sebab PKP Bermula, Ini Tips Simpan Sayur Supaya Tahan Lama

PKP dah start semula. Ramai beli barang dapur lebih sebab nak kurangkan keluar rumah. Tapi beli banyak-banyak nanti cepat rosak, nanti rugi pula terpaksa buang. Sayur-sayuran tak boleh simpan lama, paling lama pun boleh tahan dua tiga hari lepas tu layu.

Sebenarnya ada tips untuk kakak-kakak atau abang-abang yang suka masak. Jom tengok tips simpan sayur supaya tahan lama dan sentiasa segar. Ini tips untuk sayur tradisional je tau. Apa-apa pun, selamat mencuba guys!

Bawang

Rasanya simpan bawang ni ramai dah tahu. Letak bawang di tempat yang kering. Yang penting jangan simpan bawang bersama kentang. Simpan bawang di tempat khas dengan suhu bilik.

Kunyit Hidup, Halia, Serai Dan Lengkuas

Korang hanya perlukan botol atau balang yang ada penutup. Isikan air separuh botol, letak kunyit hidup, halia, serai atau lengkuas dan tutup rapat. Tukar air dua minggu sekali. Semua ini akan kekal segar.

Cili

Haa, cili pun selalu pakai tapi selalu juga cepat rosak. Sebelum simpan cili, patahkan tangkai cili. Tak kira cili apa pun, buat cara yang sama. Lepas patahkan tangkai cili, gunakan bekas bertutup yang dilapik dengan tisu kering. Pastikan cili tidak basah atau lembap. Masukkan cili dalam bekas bersama bawang putih seulas dua. Tutup bekas rapat-rapat dan simpan dalam peti.

Tomato

Simpan tomato menghala ke atas. Bahagian atas tomato yang merosakkan tomato. Jadi, jangan simpan tomato bergolek dengan sayuran lain. Susun tomato dengan baik dan tutup bekas.

Kentang

Kalau bawang tak boleh simpan sekali dengan kentang sebab nanti cepat rosak. Tapi kentang boleh simpan bersama epal! Kenapa epal? Emm, cubalah kalau tak percaya. Kentang tak boleh terdedah dengan cahaya matahari. Simpan kentang di tempat yang tidak terlalu panas.

Sayur Hijau

Basuh sayur-sayuran dengan bersih. Kalau ada sayur berakar, jangan buang dulu. Nak masak nanti baru buang. Lepas itu, rendam sayur dalam air yang bercampur garam selama lima ke sepuluh minit. Toskan air dan simpan sayur dalam bekas kedap udara atau ziplock bag. Air garam tadi bertujuan untuk buang bahan kimia pada daun sayur. Senang je kan?

Daun Sup

Tak semua lauk perlukan daun sup tapi daun suplah penyedap masakan. Daun sup memang mudah layu. Jadi korang gunakan botol yang dah dipotong separuh. Letak sedikit air, pastikan air hanya kena pada akar sahaja. Kalau terkena batang daun sup akan cepat rosak dan lembik.