Suspek Samseng Jalan Raya Ditahan
Suspek Samseng Jalan Raya Ditahan
BENTONG – Tindakan samseng jalan raya seorang lelaki yang menyerang pemandu lain di Kilometer 10.3 Jalan Genting Highlands (arah turun) tular di media sosial selepas rakaman berdurasi satu minit 23 saat memaparkan insiden itu dikongsi di beberapa platform.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku pada 3 Ogos lalu kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa, lelaki tempatan berusia 32 tahun, dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke rumahnya di Subang Jaya, Selangor.
“Hasil siasatan mendapati suspek memandu secara berbahaya dengan membrek mengejut dan menghalang laluan mangsa.
“Selepas mangsa berjaya memotong, suspek mengejar sebelum melanggar bahagian belakang kenderaan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Zaiham berkata, mangsa kemudian memberhentikan kenderaan sebelum diserang suspek yang menumbuk muka dan mencederakan lehernya. Pergaduhan itu dileraikan dua rakan mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 22 tahun.
Menurutnya, susulan laporan polis, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Suspek direman empat hari sehingga 7 Ogos lalu,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan siasatan masih dijalankan.-SAHIH