PELANCONG DIDENDA KERANA BAWA MCDONALD’S KE AUSTRALIA

Biasanya sebelum melancong ke luar negara kita pasti tahu barang yang boleh dibawa dan barang larangan.

Kalau naik kapal terbang, sememangnya banyak barangan yang tidak dibenarkan. Jika penumpang tidak mematuhi peraturan, pihak berkuasa akan mengenakan tindakan undang-undang seperti tidak dibenarkan ke destinasi, dikenakan denda atau mungkin akan ke penjara.

Baru-baru ini, Mashable melaporkan seorang pelancong dari Bali, Indonesia dikenakan denda sebanyak AU$2,664 (RM8,254.78) apabila tiba di Darwin, Australia kerana membawa masuk makanan segera, McDonald’s.

Pelancong itu membawa masuk beberapa McMuffins, croissant ham dan beberapa menu lain yang ditemui dalam bagasi mereka.

Pihak kerajaan Australia tidak bertolak ansur dengan pelancong yang melanggar undang-undang kerana berikutan penyakit kaki dan mulut yang telah merebak di pulau itu.

Kerajaan Australia melaburkan berjuta-juta bagi mengelakkan penyakit tersebut dengan mengambil langkah biosekuriti yang lebih rapi di kawasan lapangan terbang.

Menteri Pertanian, perikanan Australia dan perhutanan, Murray Watt berkata denda yang dikenakan kepada pelancong tersebut adalah dua kali ganda kos tambang penerbangan dari Bali.

Semua menu yang diseludup telah dirampas dan diperiksa untuk dikaji penyakit kaki dan mulut.