Stesen bas di hab ECRL bakal kurangkan kesesakan terminal Kota Bharu
Stesen bas di hab ECRL bakal kurangkan kesesakan terminal Kota Bharu
KOTA BHARU: Pembinaan stesen bas di hab Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tunjong dijangka mampu mengurangkan kesesakan di terminal bas utama Lembah Sireh, selain memudahkan penumpang meneruskan perjalanan ke pelbagai destinasi di Kelantan.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), Laili Ismail berkata, kemudahan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu bakal memperluas rangkaian pengangkutan awam, khususnya perkhidmatan bas sebagai pengangkutan sambungan kepada pengguna ECRL.
Katanya, pembinaan stesen bas di lokasi sama membolehkan penumpang mendapatkan perkhidmatan pengangkutan sambungan tanpa perlu bergerak ke terminal lain.
“Apabila penumpang dari luar seperti Gombak, Kuantan atau Kuala Terengganu menggunakan ECRL dan tiba di terminal Tunjong, mereka boleh terus mendapatkan perkhidmatan bas untuk pulang ke destinasi seperti Bachok,” katanya.
Menurutnya, kemudahan itu juga berpotensi meningkatkan penggunaan perkhidmatan bas, sekali gus mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap kenderaan persendirian.
Laili berkata, keperluan menyediakan terminal tambahan semakin penting berikutan jumlah perjalanan bas di Kota Bharu yang meningkat terutama pada musim cuti dan waktu puncak.
“Ketika ini, terminal bas utama di Kota Bharu menerima kira-kira 150 perjalanan bas sehari pada hari biasa, iaitu Isnin hingga Khamis.
“Jumlah itu meningkat kepada 180 hingga 200 perjalanan sehari ketika musim puncak dan keadaan ini menunjukkan keperluan menyediakan kemudahan tambahan bagi menampung pertambahan perkhidmatan bas,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya penyelarasan jadual perjalanan bas dengan perkhidmatan ECRL diberi perhatian bagi mengelakkan penumpang terpaksa menunggu terlalu lama.
Katanya, penyediaan kemudahan asas termasuk ruang menunggu selesa, kaunter tiket, kawasan mengambil dan menurunkan penumpang serta laluan keluar masuk bas yang teratur juga perlu diberi keutamaan.
Beliau berharap pembinaan stesen bas berkenaan dapat meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam dan memberi manfaat kepada pengguna serta pengusaha bas di Kelantan.-SAHIH
#ECRL #Belanjawan2027 #KotaBharu #PengangkutanAwam
