Pemuda, Puteri UMNO Raub gesa polis siasat video kaitkan MB Pahang
Pemuda, Puteri UMNO Raub gesa polis siasat video kaitkan MB Pahang
RAUB: Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Raub menggesa polis menyiasat sebuah video di Facebook yang didakwa mengaitkan Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dengan isu penyalahgunaan pengaruh, kepentingan syarikat tertentu serta tanah masyarakat Orang Asli.
Kedua-dua sayap UMNO bahagian itu menyatakan hasrat membuat laporan polis terhadap video yang dimuat naik menerusi akaun Facebook menggunakan nama ‘Bah Yus’ kerana bimbang kandungannya boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Menerusi kenyataan bersama, mereka memaklumkan video berkenaan memaparkan seorang lelaki yang mengeluarkan beberapa dakwaan membabitkan Menteri Besar Pahang, selain turut menyentuh institusi diraja.
Menurut kenyataan itu, kandungan video berkenaan juga didakwa membayangkan bahawa institusi diraja telah diperdayakan.
“Kami berpandangan bahawa kenyataan-kenyataan tersebut wajar disiasat kerana berpotensi mengandungi unsur fitnah, menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat serta menyentuh institusi diraja,” menurut kenyataan itu.
Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Raub turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan kandungan video terbabit diteliti mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Kami memohon pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kandungan video tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan sama.
Kedua-dua sayap parti itu mahu pihak berkuasa meneliti kenyataan yang dibuat dalam rakaman terbabit, khususnya dakwaan yang mengaitkan pentadbiran kerajaan negeri dan institusi diraja.
Bagaimanapun, dakwaan yang terkandung dalam video berkenaan belum dapat disahkan secara bebas dan sebarang kesalahan perlu ditentukan menerusi siasatan pihak berkuasa.-SAHIH
#UMNORaub #WanRosdy #PolisPahang #IsuTanahOrangAsli
