Rafizi Cabar Nurul Izzah Ke Pentas Debat, Mahu Politik Idea Jadi Teras PKR
Rafizi Cabar Nurul Izzah Ke Pentas Debat, Mahu Politik Idea Jadi Teras PKR
TEMERLOH – Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya untuk berdebat secara terbuka dengan pencabarnya, Nurul Izzah Anwar, menjelang minggu terakhir kempen pemilihan parti itu.
Menurut Rafizi, budaya berdebat dalam kalangan calon pucuk pimpinan sudah menjadi amalan dalam PKR sejak dulu dan harus diteruskan bagi mengangkat politik yang berasaskan hujah dan idea.
“Kalau ikut pengalaman saya lawan Datuk Seri Saifuddin dulu pun, memang debat jadi pentas terbaik untuk kita tonjolkan dasar. Kali ini saya terbuka kalau pihak media nak anjurkan debat dengan Nurul Izzah,” katanya.
Tambah beliau, cadangan untuk mengadakan debat turut disuarakan oleh anggota-anggota di peringkat akar umbi dan disambut baik olehnya. Bagaimanapun, Rafizi enggan mendekati mana-mana penganjur secara langsung bagi mengelakkan tuduhan berat sebelah.
“Saya lebih selesa nyatakan kesediaan secara terbuka. Kalau saya yang cari penganjur, nanti orang kata berat sebelah. Jadi kita tunggu pihak media,” katanya lagi.
Rafizi turut mengulas mengenai kritikan yang diterimanya sepanjang tempoh kempen, termasuk sindiran berbentuk peribadi.
“Saya dah biasa kena tembak kiri kanan. Tapi kali ini penyokong-penyokong bawah lebih panas. Jadi debat boleh ubah fokus kempen kepada isu sebenar, bukan pasal aku gemuk atau botak,” katanya berseloroh.
Mengulas kemungkinan impak terhadap tugasnya sebagai Menteri Ekonomi sekiranya terpilih nanti, Rafizi menegaskan bahawa segala perancangan dasar utama seperti Rancangan Malaysia ke-13 telah hampir lengkap.
“Kita dah hampir siap RMK13, tinggal nak bentang di Parlimen. Jadi saya yakin tak ganggu pentadbiran kalau berlaku perubahan,” jelasnya.
Beliau turut menyokong agar debat itu dibuat secara langsung agar rakyat dapat menilai sendiri kematangan dan intelektualiti calon.
“Kalau live, baru nampak siapa ada isi, siapa main sentimen,” katanya sambil mengakhiri perbualan dengan ucapan terima kasih.-SAHIH