PUNB tawar moratorium kepada Rakan Usahawan yang terjejas banjir
PUNB tawar moratorium kepada Rakan Usahawan yang terjejas banjir
KUALA LUMPUR – Prihatin dengan nasib Rakan Usahawan yang terjejas akibat banjir, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menawarkan moratorium ke atas prinsipal dan keuntungan sehingga enam bulan bermula 1 Januari 2022.
Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, inisiatif itu bertujuan mengurangkan beban kewangan ditanggung Rakan Usahawan yang terjejas akibat banjir.
Menurutnya, PUNB sentiasa fokus membantu semua Rakan Usahawan yang terjejas dan kami berharap inisiatif ini dapat membantu meringankan sebarang kesulitan kewangan yang dihadapi dalam waktu mencabar ini.
“Setakat ini, sebanyak 53 syarikat Rakan Usahawan PUNB di Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan dilaporkan terjejas akibat banjir dengan kerugian dianggarkan hampir RM10.5 juta.
“Justeru, Rakan Usahawan PUNB yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan komitmen pembayaran pembiayaan boleh memohon moratorium tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataannya di sini.
Katanya PUNB diwujudkan pada tahun 1991 bertujuan untuk meningkatkan penyertaan dan penglibatan bumiputera dalam bidang keusahawanan serta melahirkan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang dinamik, berdaya tahan, progresif dan berjaya
“Rakan usahawan yang layak boleh menghubungi Pegawai Pemantau yang telah ditugaskan menyelia akaun melalui telefon atau e-mel,” katanya.
Sebarang pertanyaan mengenai PUNB, boleh hubungi Pegawai Khidmat Pelanggan di talian 1300 13 7862 atau e-mel ke customerservice@punb.com.my atau Layari portal rasmi PUNB di www.punb.com.my dan ikuti media sosial PUNB untuk sebarang maklumat terkini.-SAHIH