Penduduk Felda Jengka 24 pasang bendera hayati kemerdekaan
Penduduk Felda Jengka 24 pasang bendera hayati kemerdekaan
JERANTUT : Penduduk Felda Jengka 24 berganding bahu menceria dan menaikan semangat sambutan kemerdekaan dan hari kebangsaan ke-66 dengan memasang bendera di sekitar Felda tersebut.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, penduduk di sini bersetuju memasang bendera di rumah masing-masing selain di jalan utama ke Felda itu bagi memberi semangat sambutan hari kebangsaan.
“Bagi generasi lama, perkara yang dilakukan sebagai membangkitkan semangat sayangkan negara, bagi generasi muda pula yang tidak ‘nampak’ hasil perjuangan orang lama menuntut kemerdekaan dahulu wajar diterapkan nilai ini.
“Oleh itu dengan sekadar memasang bendera di rumah masing-masing, ia menunjukkan rasa cintai negara bertapak kukuh,” katanya.
Katanya, tahun ini hampir 5,000 bendera di pasang di rumah dan laluan tertentu termasuk di jalan masuk ke Felda itu.
Penduduk Felda Jengka 24, Zulmi Abd Rahman berkata, penduduk di sini menjadikan memasang bendera di kediaman masing-masing selain menceriakan rumah menjelang hari kebangsaan ia turut menjadikan situasi sambutan bertambah meriah.
“Saya sendiri memasang hampir 500 bendera pelbagai saiz di rumah dengan bantuan anak dan menantu.
“Dengan cara ini, ia menjadikan sambutan sebagai penghargaan kepada orang lama yang memperjuangkan kemerdekaan dari tangan penjajah,” katanya.-SAHIH.