PENDAKI CEDERA DI KEM KUBANG, MERAPOH BERJAYA DIBAWA KELUAR GUNA HELIKOPTER BOMBA
PENDAKI CEDERA DI KEM KUBANG, MERAPOH BERJAYA DIBAWA KELUAR GUNA HELIKOPTER BOMBA
Foto JBPM: Helikopter mendarat di Padang Sivik, Gua Musang sebelum membawa mangsa ke Hospital Gua Musang.
LIPIS: Seorang pendaki wanita yang mengalami kecederaan serius berjaya dibawa keluar menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan terus dihantar ke Hospital Gua Musang, pada jam 2.30 petang, hari ini.
Mangsa, Nur Kyariatul Syafinie Abdul Majid, 40 tahun dari Seri Kembangan Selangor yang cedera di bahagian lutut dan buku lali sebelah kanan dan tidak boleh meneruskan perjalanan dan memerlukan bantuan kecemasan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, kumpulan itu seramai sepuluh orang, 5 lelaki, 4 wanita dan seorang Malim Gunung mula mendaki Gunung Tahan melalui Merapoh pada 7 November dan dijangka sampai semula ke Kuala Juram pada 10 November.
Balai Polis Merapoh telah menerima maklumat daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berkaitan seorang pendaki yang cedera dan memerlukan bantuan untuk membawa keluar dari kawasan Kem Kubang, Gunung Tahan, pada jam 5.00 petang, semalam.
“Pada hari itu (10 November), kumpulan itu dalam perjalanan menghala turun, berlaku kejadian kecederaan salah seorang pendaki pada jarak daripada lokasi kejadian dengan pintu masuk Kuala Juram kira-kira 30 kilometer.
“Pihak penyelamat cuba membawa keluar mangsa pada petang semalam sejurus menerima panggilan kecemasan tetapi gagal disebabkan keadaan cuaca,” katanya melalui kenyataannya hari ini.
Azli berkata, operasi untuk membawa keluar mangsa dilakukan oleh seorang pegawai dan 4 anggota PDRM; JBPM, 1 pegawai dan 1 anggota; PERHILITAN, seorang pegawai, 3 anggota dan 3 orang Malim Gunung.
“Pendaki lain dalam kumpulan itu bermalam pada salah satu check-point dan akan turun pagi esuk.
“Diharap kumpulan pendaki lain berhati-hati melakukan aktiviti seperti ini dan sering mementingkan aspek keselamatan,” katanya.-SAHIH.