Pembangunan khas di Genting Highlands
Pembangunan khas di Genting Highlands
BENTONG – Kawasan peranginan Genting Highlands terus menjadi antara lokasi tumpuan bagi pelaksanaan Rancangan Kawasan Khas (RKK) yang dipantau pihak PLANMalaysia, kerajaan Pahang dan pihak berkuasa tempatan.
Objetif utama kajian RKK Genting Highlands yang melibatkan keluasan 6,339.85 hektar adalah satu pelan perancangan untuk menjadikan Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan tanah tinggi bertaraf antarabangsa yang lestari.
Majlis perasmian program publisiti dan penyertaan awam draf RKK Genting Highlands dilakukan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff selaku wakil rasmi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.
Amizar dalam perkongsian di Facebook berkata, program itu berlangsung selama sebulan bermula 2 Mei 2024 hingga 3 Jun 2024.
“Tujuan utama program publisiti ini diadakan adalah bagi memberi peluang kepada orang awam dan pihak berkepentingan untuk menyemak laporan draf RKK yang telah tersedia.
“Seterusnya orang awam boleh memberikan pandangan, cadangan serta maklum balas bagi menjayakan RKK ini,” katanya.
Amizar selaku ADUN Pelangai menjelaskan RKK ini juga selaras dengan hasrat Majlis Perbandaran untuk merealisasikan hasrat untuk menjadikan Bentong sebagai bandar Eko pelancongan melalui pelaksanaan projek pembangunan semula merangkumi aspek flora dan fauna. – SAHIH