PEKERJA BENGKEL PENGHAWA DINGIN MAUT DALAM KEMALANGAN JALAN RAYA
PEKERJA BENGKEL PENGHAWA DINGIN MAUT DALAM KEMALANGAN JALAN RAYA
JERANTUT: Seorang penunggang motosikal yang bekerja di bengkel penghawa dingin di kawasan perindustrian Jerantut maut di tempat kejadian setelah bertembung dengan sebuah kereta di KM26, Jalan Jerantut-Ulu Cheka berdekatan Kampung Koi, dekat sini, semalam.
Penunggang motosikal itu, Muhammad Nur Haqiemie Suhadi, 18 tahun yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bharu bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Suprintendan Azman Mat Kamis berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 6.55 petang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai penunggang motosikal itu telah masuk ke laluan bersebelahan lalu bertembung .
“Akibat kemalangan itu, penunggang telah maut di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Beliau menasihati pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan mengikut peraturan jalan raya yang ditetapkan. Kemalangan itu di bawah Seksyen 41(1) APJ1987.-SAHIH.