Balai Bomba baharu Kuala Krau bantu panggilan kecemasan di bawah tempoh 10 minit
Balai Bomba baharu Kuala Krau bantu panggilan kecemasan di bawah tempoh 10 minit
KUALA KRAU – Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat di Pekan Kuala Krau melegakan warga Kuala Krau yang selama ini bergantung kepada khidmat Balai Bomba Temerloh, Jengka dan Jerantut yang kesemuanya terletak kira-kira 40km dari pekan ini.
Balai Pekan Kuala Krau yang telah siap dibina pada April tahun ini adalah Balai Bomba dan Penyelamat ke-28 di negeri Pahang berharga RM 3 juta.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, balai bomba baharu itu dengan lokasi yang cukup baik pastinya mampu memberi khidmat terbaik kepada masyarakat setempat, terutama dalam mencapai sasaran ‘response time’ terhadap panggilan kecemasan di bawah tempoh 10 minit.
Turut hadir bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina MericanTimbalan Menteri Dalam Negeri 1 Merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
“Selama ini, masyarakat di sini hanya bergantung kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Rumpun Makmur dan Kuala Krau untuk memberi khidmat kebombaan awal sebelum tiba pasukan bomba dari Jerantut, Temerloh atau Bandar Jengka.
“Terima kasih dengan sokongan bantuan awal diberi PBS Rumpun Makmur dan Kuala Krau yang bertindak sebagai sokongan dan tulang belakang bomba di kawasan sebelum ini,” katanya.-SAHIH.