BERA – Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyelar tindakan syarikat-syarikat penerbangan yang menaikkan kadar tambang kapal terbang antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak, khususnya pada musim perayaan.
Justeru, beliau mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertegas dalam hal tersebut.
Ia dianggap tindakan yang melampau dan melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011
Sebelum ini, laporan media menyebut pemantauan terhadap laman web syarikat penerbangan komersial baru-baru ini menyaksikan tambang penerbangan melonjak sehingga 2 ribu ringgit bagi penerbangan pergi dan balik.
Ia meningkat sekitar 566 peratus, menjelang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri iaitu pada 29 April hingga 8 Mei.
kalau tiket penerbangan ke sabah sarawak naik ni pd sabah sarawak kapal terbang naik harga..nak naik apa…takkan nak naik kereta balik sabah.2 ringgit sekarang.sama mahal pergi ke london saya difahamkan.jadi saya dah mintak spy kementerian pengangkutan memanggil syrikat penerbangan utk menurunkan mereka menurunkan harga dan dalam ms sama kpdnhep juga tegas
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian MG Coopmart-KopBera dan Jualan Murah Semarak Ramadan Keluarga Malaysia Parlimen Bera di Bera,Pahang.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah berjumpa syarikat penerbangan dan meminta mereka mencari kaedah terbaik untuk memastikan harga tiket kapal terbang bagi laluan berkenaan diturunkan.
Biarpun memahami alasan kenaikan harga tiket berdasarkan perspektif syarikat penerbangan ekoran perang antara Rusia dan Ukraine sehingga memberi kesan kenaikan harga minyak,namun kerajaan juga perlu mengambil kira kepentingan rakyat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pemandu derita sakit kaki tersepit dalam kemalangan
JERANTUT – Seorang pemandu wanita berusia anggaran 25 tahun menanggung derita kira-kira sejam kerana kakinya tersepit dalam kemalangan di Kampung Seboi, Jalan Jerantut-Temerloh dekat sini, kira-kira jam 8.30 malam.
Wanita itu yang memandu Proton Saga dari arah Kuala Krau menghala ke Jerantut bertembung dengan sebuah kereta Toyota Vios dari arah Jerantut.
Seorang saksi awam berkata, sebuah kereta Toyota Vios dari arah Jerantut yang cuba memotong kenderaan di hadapannya gagal masuk ke lorongnya semula dan terus merempuh kereta Proton itu.
Di dalam kereta Proton itu terdapat empat penumpang termasuk tiga kanak-kanak, tiga kanak-kanak telah dibawa ke klinik Kuala Krau oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.
Manakala ibu kepada pemandu yang duduk di tempat memandu cedera ringan.
Katanya, dia nampak kereta datang dari hadapan betul-betul di laluannya.
“Anak saya cuba ke bahu jalan untuk menggelak tetapi ada motosikal berdekatannya,”katanya.
Pemandu Toyota Vois dipandu oleh seorang wanita bersama penumpang terselamat.
Ambulan dari Jerantut tiba di lokasi kejadian diikuti jentera bomba dari Temerloh sejurus kemudian.
Anggota BBP Temerloh mengeluarkan pemandu wanita yang tersepit dengan menggunakan alat khas.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Putrajaya – Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengeluarkan notis penutupan terhadap peniaga mee tonggek yang tular kerana terdapat ulat dalam makanan dijual.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana didapati tidak bersih.
Katanya, pemilik gerai perlu mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sebelum dibenarkan beroperasi semula.
“BKKM sudah menjalankan siasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap gerai yang menjual mee tonggek berkenaan.
“Selain tindakan penutupan, kompaun turut dikeluarkan terhadap seorang pekerja yang didapati tidak mengambil suntikan anti-tifiod. Tiga sampel turut diambil di gerai terbabit bagi tujuan analisis mikroorganisma dan bendasing.
“Siasatan oleh pihak KKM juga mendapati peniaga berkenaan mempunyai sebuah premis makanan yang beroperasi di Cyberjaya di mana bahan mentah dimasak dan disimpan sebelum dipasarkan di bazar itu.
“KKM akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan di premis berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pengendalian keselamatan makanan di premis itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, video mee goreng bersama sotong yang dibeli di Bazar Ramadan Putrajaya mempunyai ulat tular di media sosial.
Dalam pada itu, mengenai isu gumpalan rambut dalam kuih limas, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan ke atas pengeluar kuih limas berkenaan bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983.
Beliau turut memaklumkan sehingga kini, menerusi Operasi Ramadan 2022 di seluruh negara, 4,362 premis Bazar Ramadan sudah diperiksa dan 77 notis kompaun dengan nilai RM38,500 dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Sumber: Harian Metro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penduduk Rancangan Sosial PKPP terima duit raya berjumlah RM620,200 – Wan Rosdy
LIPIS – Berita gembira buat seramai 886 orang peserta tujuh buah Rancangan Sosial Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) apabila kerajaan negeri di bawah agensi tersebut telah memperuntukkan sejumlah RM620,200 bagi sumbangan bantuan Hari Raya Aidil Fitri mulai hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini merupakan salah satu tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap peserta rancangan sosial PKPP bagi meringankan beban perbelanjaan mereka untuk menyambut hari raya tidak lama lagi.
Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada peserta rancangan sosial PKPP di Lipis, hari ini
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM290,508 akan diagihkan kepada seramai 415 orang peserta rancangan sosial PKPP di Lipis melibatkan tiga rancangan iaitu, Rancangan Penempatan Semula (RPSK) Merapoh, RPSK Kampung Jerkoh dan RPSK Kampung Peruang.
“Duit raya yang bernilai RM700 masing-masing akan diberikan kepada peserta di rancangan sosial di setiap daerah yang akan diselenggarakan oleh PKPP sebelum Hari Raya Aidilfitri termasuk pada majlis hari ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang di sini hari ini.
Turut hadir sama, iaitu Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, Datuk Suhaimi Mohd Yunus, Timbalan Menteri Satu Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang.
Dalam pada itu, sempena keberkatan bulan Ramadan ini, kerajaan negeri di bawah anak syarikatnya, iaitu PKPP telah bersetuju untuk melupuskan hutang tanam semula kelapa sawit bernilai RM11.12 juta sebanyak 80 peratus di enam buah kawasan tanah rancangan sosial melibatkan seramai 194 orang peserta.
Beliau berkata, berita gembira itu melibatkan kawasan Rancangan Tanah Pemuda (RTP) dan Ladang Kecil milik peserta yang diuruskan oleh PKPP sejak tahun 1971, iaitu RTP Sungai Ular (Lipis), RTP Klau (Raub), RTP Sepayang (Rompin), RTP Gemuruh (Pekan), RTP Kampung Awah (Temerloh) dan Ladang Kecil Sungai Charu (Kuantan).
“Purata pelupusan hutang mengikut individu berasaskan jumlah minimum sebanyak RM8,000 hingga jumlah maksimum RM131,000, berkuatkuasa mulai 1 Jun 2022 ini, manakala peserta yang telah menjelaskan bayaran penuh bermula 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2021, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi pulangan rebat bayaran tersebut sebanyak 20 peratus.
“Kerajaan negeri melalui PKPP amat prihatin terhadap tanggungjawab sosial kepada peserta rancangan sosial di negeri ini dengan menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur selain menikmati peluang ekonomi dan usahawan bidang pertanian,” katanya.
Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai selanjutnya berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah melaksanakan Projek Penggantian Paip Air di Rancangan Penempatan Semula Banjir (RPSB) Kampung Kuala Medang.
“Peruntukan untuk projek ini yang bernilai RM6 juta menerusi bantuan KPLB untuk membina paip air baharu dan pembinaan tangki baharu berkapasiti 250,000 gelen yang telahpun siap sepenuhnya dengan memberikan manfaat kira-kira 1,000 orang penduduk sekitar Kuala Medang,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy yang juga Pengerusi PKPP berkata, usaha bersungguh pengurusan anak syarikat kerajaan negeri itu menerusi sektor perladangan sawit dan pertanian lain membuahkan pulangan keuntungan yang mampu diagihkan kepada peserta rancangan sosial menerusi inisiatif duit raya termasuk bantuan kebajikan lain.
“Sejak Kerajaan Barisan Nasional Pahang berdepan diskriminasi di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan tanpa bantuan kewangan selama 22 bulan, kita berdikari memperoleh pendapatan sendiri menerusi agensi di bawah kerajaan negeri sekali gus dapat mengukuhkan kewangan.
“Wang ini kita gunakan untuk melestarikan pelbagai inisiatif di bawah Bantuan Prihatin Pahang yang bernilai RM29.9 juta melibatkan empat kluster penerima (rakyat) tahun ini dan hari ini insiatif yang sama daripada agensi PKPP kepada peserta berkenaan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Datuk Seri Wan Rosdy bagi menyampaikan Sumbangan Aidil Fitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis.
Pemilik tanah boleh melombong bahan mineral dengan sijil SPK
LIPIS – Skim Pelombong Kecil (SPK) diberi kepada pengusaha aktiviti perlombongan mineral untuk mengelakkan aktiviti secara haram di negeri Pahang mulai tahun ini.
Kerajaan negeri merintis pewujudan skim ini kepada pengusaha aktiviti perlombongan mineral kepada pengusaha yang mempunyai tanah milik persendirian sebagai alternatif bagi mengelakkan ketirisan dan kebocoran hasil kerajaan negeri selain dijalankan secara haram.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, skim itu diberikan merupakan negeri yang pertama merintis kebenaran untuk pelombong mengusahakan cari gali bahan mineral di tanah sendiri menerusi sijil SPK dan dikawal oleh peraturan tertentu.
“Hari ini kita telah serahkan sijil SPK kepada 49 pengusaha di Mukim Kechau (Lipis) dan Luit (Maran) yang mana tanah milik mereka mempunyai hasil mineral seperti emas dan bijih besi melibatkan kawasan seluas 4.05 hektar.
“Hasrat utama kerajaan negeri untuk memastikan mereka melombong secara sah di bawah penguatkuasaan serta pemantauan yang rapi oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) selain memastikan aktiviti terbabit berjalan lancar, teratur dan mematuhi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar Satu, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak, Pegawai Eksekutif PKPP, Datuk Suhaimi Mohd Yunus, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abdul Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Abd Aziz Mat Kiram.
Katanya, sekiranya skim itu tidak wujud (tidak diluluskan), kerajaan negeri akan berdepan kerugian ekoran aktiviti perlombongan secara haram termasuk pembabitan orang luar yang mencari keuntungan di tanah milik penduduk berkenaan seperti yang berlaku sebelum ini.
“Hal ini juga akan berlaku pengusaha melombong secara senyap tanpa pengetahuan kerajaan malahan hasilnya nanti dijual secara tidak sah.Jadi lebih baik kita ‘halalkan’ menerusi dengan pemantauan yang rapi.
“Aktiviti perlombongan secara sah ini juga memberi pendapatan kepada pemilik tanah selain kerajaan negeri dapat mengutip cukai hasil atau daripada lesen tersebut,” katanya.
Wan Rosdy berharap orang ramai yang memiliki tanah milik persendirian mempunyai hasil bumi seperti emas dan bijih agar dapat tampil membuat permohonan secara sah kepada agensi berkaitan.
“Semua kegiatan perlombongan perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri dan mereka yang berhasrat melakukan aktiviti itu perlu membuat permohonan serta harus memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Datuk Adnan Mat (2 dari kiri) dan Jasni Md Kechik (2 dari kanan) di selepas Majlis Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan (PPDT) Kongres Kesatuan Guru dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) Kali ke-20/2022, di sini, hari ini.
KPM kaji semula larangan guru aktif dalam kesatuan
JERANTUT – Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula larangan terhadap guru untuk memegang tampok kesatuan dan persatuan guru tanah air.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, kesatuan guru adalah pembela profesion perguruan dan sentiasa prihatin terhadap perkhidmatan guru, berhubung dengan kerjaya, keistimewaan khas serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan profesion perguruan.
Katanya, kesatuan turut membantu kaum guru memahami peranan mereka dalam memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Negara (FPN) serta berusaha untuk meningkatkan imej dan martabat profesionalisme guru.
“Kita maklum ada akta-akta yang mengikat penjawat awam untuk bergerak aktif di bawah kesatuan sekerja, oleh itu perlu ada pengubahsuaian oleh pihak kerajaan berkaitan kesatuan sekerja dengan membenarkan guru-guru terus bergerak aktif dalam kesatuan.
“Sekiranya pihak kerajaan menghadkan guru yang di gred 48, maka secara automatik keahlian mereka terhenti dan akhirnya manfaat kebajikan daripada kesatuan akan terputus kerana guru akan terus naik pangkat atau gred perkhidmatan secara berterusan sehingga gred 54,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan (PPDT) Kongres Kesatuan Guru dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) Kali ke-20/2022, di sini, hari ini.
Katanya, guru yang menyertai kesatuan guru pada awalnya telah maklum manfaat yang bakal mereka terima sehingga bersara, tetapi pemberhentian mereka disebab sekatan itu, segalanya manfaat yang bakal diterima akan terhapus.
“Mengapa seorang guru itu dilarang menjadi ahli ketika mereka melangkah ke gred 52 atau 54 sedangkan mereka masih lagi seorang guru yang menjalankan tugas guru di dalam bilik darjah dan di sekolah.
“Guru adalah pendidik dan tidak terlibat dengan dasar-dasar sebaliknya mereka pelaksanan dasar yang diterapkan oleh pihak atasan, malah tidak banyak perkara kerahsiaan,”katanya.
Katanya, diharap tiada sebarang sekatan terhadap guru kerana mereka akan terus naik pangkat dan gred dalam perkhidmatan dan terus menerus menjadi guru.
“Saya sedia maklum kesatuan guru sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak yang berkepentingan dalam pendidikan untuk menambah baik sesuatu dasar yang hendak dilaksanakan demi kebaikan semua.
“Tidak dinafikan kesatuan guru dan guru turut berkerjasama dengan KPM dalam membangunkan modal insan selain membentuk insan ke arah kemenjadian muridnya serta turut berkorban demi bangsa dan negara,” katanya.
Turut hadir, Setiuasaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia, Mustafa Kamal Husin, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah Malaysia, Mohd Ariffin Abdul Rahman, dan Naib Yang Dipertua 1, Majlis Gabungan Guru Besar Malaysia, Marzilaini Mohd
Jasni Md Kechik
Sementara itu, Presiden Kongres, Jasni Md Kechik bersetuju dengan saranan presiden Cuepacs agar KPM mengkaji semula akta yang melarang guru untuk terus bergerak aktif dalam kesatuan.
Katanya, bagi memastikan nasib guru terbela, menyeru KPM menyatakan garis panduan yang jelas berkaitan dengan penglibatan guru dalam kesatuan khususnya yang berada di gred tinggi.
“Diharapkan kajian melarang guru yang berada di gred 48 ke atas dipertimbangkan agar kesatuan guru terus releven dan bernyawa untuk terus menjaga kebajikan guru di samping menyokong penuh dasar KPM berjalan lancar,”katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: AIFA Azman (kiri) menyingkirkan pemain England, Lucy Turmel pada pusingan kedua Terbuka Manchester hari ini. – IHSAN MANCHESTER OPEN
Eain Yow, Aifa melangkah ke suku akhir Terbuka Manchester
PETALING JAYA: Dua pemain skuasy negara, Ng Eain Yow dan Aifa Azman menempah slot suku akhir setelah membenam lawan masing-masing pada pusingan kedua kejohanan skuasy Terbuka Manchester di Pusat Skuasy Nasional, Manchester hari ini.
Pemain berusia 24 tahun yang menghuni ranking No. 20 dunia itu tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan pencabar dari Mesir yang memiliki fizikal jauh lebih besar berbanding dirinya.
NG Eain Yow (kiri) cemerlang menumpaskan pemain Mesir, Moustafa El Sirty 11-7, 11-6, 11-7 pada pusingan kedua Terbuka Manchester. – IHSAN MANCHESTER OPEN
Eain Yow yang dipetik kenyataannya menerusi laman web Squashsite.com selepas perlawanan berakhir berkata, dia bermain baik, semalam untuk terus kekal fokus dalam persembahannya.
“Memang adakalanya saya teragak-agak untuk membuat keputusan ketika menyempurnakan hantaran, tetapi dapat berasakan saya melakukan pergerakan yang baik dan tidak terlibat dengan situasi yang berisiko.
“Saya berusaha memukul bola di ruang yang sempit dan memaksa lawan keluar dari tengah gelanggang, jadi selepas itu saya cuma mengekalkan aksi yang lebih teratur,” katanya yang mendapat bye pada pusingan pertama.
Dalam suku akhir esok, Eain Yow terpaksa mengharungi laluan yang lebih getir apabila perlu berdepan pilihan pertama, Mohamed ElShorbagy juga dari Mesir setelah pemain No. 3 dunia itu mengalahkan wakil Perancis, Victor Crouin 6-11, 11-3, 14-12, 11-6.
Sementara itu, seorang lagi wakil Malaysia yang beraksi dalam saingan wanita, Aifa menewaskan pencabar tuan rumah, Lucy Turmel pada pertemuan yang berlangsung sengit sebelum menang 6-11, 6-11, 11-6, 11-8, 11-8 dalam masa 50 minit.
Turmel yang menghuni ranking ke-20 dunia, diberi tentangan hebat oleh pemain No. 29 dunia, Aifa yang berjaya bangkit daripada ketinggalan dua set bagi mengheret lawan bermain dalam aksi penentuan.
“Saya bermula perlahan dalam perlawanan ini. Keadaan ini berlaku disebabkan saya yang sepatutnya menentang Georgia Adderley pada pusingan pertama, semalam (kelmarin), tetapi tidak turun beraksi kerana dia menarik diri.
“Bagaimanapun, secara keseluruhan saya gembira kerana berjaya bangkit dan sekali gus melengkapkan saingan dengan kemenangan,” katanya.
Pada suku akhir, pilihan kedua, Joelle King dari New Zealand menanti pemain muda negara itu, setelah lawan yang berada di ranking No. 5 dunia tersebut menundukkan pemain Mesir, Sana Ibrahim 11-4, 11-9, 2-11, 11-9.
Sumber – UTUSAN ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: BERGSON Da Silva meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama JDT ketika menentang Guangzhou FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi. Foto – UTUSAN
ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) memberi amaran kepada pencabar Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila membelasah Guangzhou FC dalam aksi pembukaan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.
Ayam tambatan Harimau Selatan, Bergson Da Silva muncul wira Harimau Selatan dengan meledak hatrik untuk meletakkan JDT sebagai pendahulu kumpulan.
Gol pembukaan itu menyuntik semangat pasukan tuan rumah untuk menambah jaringan hasil percubaan Fernando Forestieri pada minit ke-13, rembatannya berjaya dinafikan He Lipan pada awalnya namun kesilapannya menyebabkan bola tertampan ke gawang sendiri.
Pan Yong He yang menurunkan skuad kedua itu terus buntu untuk mengekang kemaraan juara Piala AFC 2015 yang terus mendominasi permainan dan mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.
Hasilnya, pasukan bimbingan Benjamin Mora terus menambah derita pasukan lawan apabila melebarkan kedudukan pada minit ke-27 hasil jaringan Bergson yang mendapat umpanan cantik Afiq Fazail meletakkan JDT 3-0 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, Guangzhou dilihat terus gagal memberi impak pada perlawanan itu sebaliknya terus diasak hebat wakil tunggal Malaysia dalam kejohanan itu yang buas memburu jaringan.
Pada minit ke-55, Bergson melengkapkan malam bergaya buat dirinya apabila mencipta hatrik apabila sekali lagi menewaskan Lipan menerusi tandukan hasil hantaran lintang Corbin Ong.
JDT menambah derita Guangzhou dengan menambah jaringan menerusi pemain gantian, Ramadhan Saifullah yang bijak melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melakukan sepakan lambung melepasi jangkauan Lipan pada minit ke-81.
Kemenangan tersebut meletakkan JDT di posisi teratas Kumpulan I dengan mengutip tiga mata pada aksi pembukaan.
Dalam perlawanan berasingan, pertemuan antara kelab Jepun, Kawasaki Frontale menentang pasukan Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, dekat sini berakhir dengan 1-1.
Sumber – UTUSAN ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pemandu jengkaut maut dan seorang penumpang cedera parah
JERANTUT – Seorang pemandu jengkaut meninggal dunia di tempat kejadian, seorang yang menumpang jentera itu cedera parah dan seorang lagi terselamat dalam kemalangan yang berlaku di KM4, Jalan Jerantut-Benta pada jam 12.30 tengah hari, hari ini.
Pemandu yang maut itu, Mohd Ikhsan Zahari, 37 tahun dari Kg Baru Serada, Kuala Terengganu, manakala seorang penumpang yang berada di sebelah kiri jentera berat itu, Ibrahim Hossen, 25, warganegara Bangladesh mengalami cedera parah di bahagian kepala.
Anggota Bomba dar Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit
Seorang lagi penumpang yang berada di sebelah kanan jentera itu, Hossain Shahin, 30 tahun, warganegara Bangladesh terselamat.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, siasatan awal mendapati jentera itu dipercayai gagal dikawal oleh pemandunya menyebabkan terbabas ke kiri jalan dan terbalik ke dalam longkang.
Katanya, kejadian berlaku ketika pemandu itu dalam perjalanan pulang bersama dua mangsa yang menumpang untuk balik dari kawasan pembinaan ke rumah kongsi mereka di Kampung Sungai Par, dekat sini.
“Akibat kejadian itu, pemandu meninggal dunia di tempat kejadian, dan mangsa yang menumpang berada sebelah kiri mengalami kecederaan parah di kepala dan mangsa ketiga tidak mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk dibedah siasat selepas memperolehi keputusan saringan Covid-19, kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BACHOK – Seorang remaja lelaki putus tiga jari tangan kanan akibat bermain mercun bola di Kampung Lembah Beris Kubur Besar, Tawang di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu, mangsa yang berusia 14 tahun dipercayai tidak sempat membaling mercun bola yang telah dipasang sumbunya sewaktu bermain di belakang rumah.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, akibat letupan mercun bola itu, tiga jari tangan kanan mangsa didapati hancur selain gegendang telinganya turut pecah.
Menurutnya, insiden itu turut menyebabkan bahagian leher mangsa luka selepas terkena percikan bahan bakar itu.
“Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Beris Kubor Besar di sini sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
“Berdasarkan pemeriksaan, tiga jari kanan mangsa iaitu ibu jari, telunjuk dan tengah hancur akibat terkena mercun itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohamad Ismail memberitahu, mangsa sudah menjalani pembedahan membuang tiga jarinya di HUSM dan kini berada dalam pemerhatian hospital.
Menurutnya, polis masih belum menerima sebarang laporan berkenaan kejadian itu dan pihaknya mengetahui insiden berkenaan selepas melihat gambar mangsa yang tular di media sosial kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
Sumber – KOSMO! ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!