Foto atas: Kemalangan jalan raya meragut nyawa pesara polis dan isteri di KM 192.6, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), hari ini – Foto BBP Taman Tas.
Pesara polis dan isteri maut dalam kemalangan jalan raya LPT hala Kuala Lumpur
KUANTAN – Suami isteri maut manakala 2 lagi cedera dalam kejadian kemalangan jalan raya yang berlaku di KM 192.6, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur pada jam 5.30 petang, hari ini.
Mangsa yang maut di tempat kejadian, Abd Talib Akob, 73 tahun seorang pesara polis dan Fuziah Mohd Marzuki (62) kedua-duanya beralamat di Taman Muhibbah, Jerantut.
Mangsa yang maut, Fuziah Mohd Marzuki (62) dan Abd Talib Akob, 73 tahun seorang pesara polis, kedua-duanya beralamat di Taman Muhibbah, Jerantut.
Manakala, pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Triton, Muhamad Taufik Abd Talib (34) juga dari Taman Muhibbah, Jerantut dan Noor Syafiyana Ahmad Sobri (32) beralamat Bukit Setongkol, Kuantan mengalami cedera ringan.
Sepasukan anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas, di sini dengan kekuatan 13 keanggotaan dikejarkan ke lokasi kemalangan yang melibatkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 3 meter.
Komander Operasi dari BBP Taman Tas, PPgB Helmi Kashfi berkata, terdapat 4 orang mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut membabitkan 2 lelaki dewasa dan 2 wanita dewasa.
Anggota BBP Taman Tas membawa naik mangsa yang maut terlibat dalam kemalangan itu.
“Dua daripada mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas Kementerian kesihatan Malaysia (KKM), manakala dua lagi mangsa lelaki dan wanita mengalami kecederaan dan diserahkan kepada pihak ambulans.
“Kedua mangsa yang meninggal dunia dipercayai ibu dan bapa kepada pemandu kenderaan berkenaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARA sedia perluas kerjasama strategik bidang pengajian baharu pelajar tajaannya ke luar negara
MANCHESTER -Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) merancang untuk memperluaskan kerjasama strategik bidang baharu bagi pengajian pelajar tajaannya ke luar negara.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, MARA menetapkan kerjasama strategik itu membabitkan universiti di luar negara yang berada di ranking terbaik dunia.
Mahdzir turut mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi UoM yang diketuai oleh Naib Presiden Pembelajaran, Pengajaran dan Hal Ehwal Pelajar, Profesor April McMohan.
“Universiti ini adalah ranking yang ke-35 di seluruh dunia dan di United Kingdom ni adalah ranking yang kelima, di Eropah mereka ranking yang kelapan.
“Jumlah keseluruhan pelajar di universiti ini adalah 40 ribu lebih pelajar dan lebih 25 peratus adalah pelajar dari luar negara termasuk dari Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media sempena lawatan kerja ke University of Manchester (UoM), United Kingdom di sini semalam.
Dalam lawatan itu, Mahdzir turut mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi UoM yang diketuai oleh Naib Presiden Pembelajaran, Pengajaran dan Hal Ehwal Pelajar, Profesor April McMohan.
Lawatan itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Katanya, MARA ketika ini menghantar sebahagian besar pelajar tajaannya mengikuti pengajian bidang kejuruteraan di United Kingdom dan juga di 21 buah negara lain.
“Setakat ini MARA mempunyai sejumlah 3,391 pelajar tajaannya di luar negara dengan jumlah paling ramai adalah di United Kingdom iaitu 1,422 pelajar.
“Kita dapat melihatlah bagaimana mereka telah memberi penerangan mengenai keupayaan pelajar-pelajar kita dari segi kualiti pelajar bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam ko-kurikulum, mereka memuji pelajar-pelajar Malaysia dalam penyertaan NGO, ko-kurikulum dan juga pengajian akademik,” katanya.
Mahdzir berkata, MARA membuat keputusan tepat memilih UoM sebagai destinasi pelajar tajaannya yang paling ramai di UK atas faktor ranking universiti, tenaga pengajar dan persekitaran kampus yang terbaik.
“Antara kemudahan terbaik UoM adalah infrastruktur pembelajarannya iaitu perpustakaan yang memiliki koleksi 4 juta buah buku dan manuskrip bercetak, 800 ribu buku elektronik dan 500 ribu jurnal elektronik.
“MARA mempunyai pelajar yang ramai di universiti ini di kalangan universiti yang ada di United Kingdom. Kita ada lebih kurang 229 pelajar di kampus University of Manchester dan ini di bawah tajaan MARA,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Anggota APM memantau keadaan air di kawasan Kampung Batu 55, Mukim Luit dalam kejadian banjir kilat, petang ini.
Banjir kilat landa bandar Maran
MARAN – Sekitar bandar Maran dan Perkampungan Orang Asli Batu 55 dalam Mukim Luit dekat sini dilanda banjir kilat, hari ini.
Kejadian berlaku disebabkan hujan sederhana lebat beberapa jam di beberapa tempat di sekitar daerah ini mulai petang, hari ini.
Hujan lebat berterusan selama beberapa jam telah mengakibatkan kawasan di sekitar bandar Maran dan makluman awal terdapat 8 buah rumah dimasuki air di Kampung Batu 55.
Agensi penyelamat di daerah Maran sedang membuat pemantauan dan mendapatkan maklumat kawasan serta bilangan rumah dan mangsa yang terjejas.
Namun, trend air surut mula pada kira-kira jam 7.30 petang, hari ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Seramai 20 sukarelawan APM anggota pasukan Nature Lifeguard pertama di Malaysia
JERANTUT- Seramai 20 orang yang terdiri daripada ahli sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Tahan termasuk penduduk Orang Asli etnik Bateq menganggotai pasukan Nature Lifeguard yang pertama di negara ini di Taman Negara, Kuala Tahan, dekat sini.
Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Sh. Mohamed Puzi Sh. Ali (2 dari kanan) memperkenalkan pakaian Nature Lifeguard dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Pahang, Kol (PA) Che Adam A. Rahman (kiri)
Penubuhan pasukan Nature Lifeguard ini untuk menjalankan tugasan sepanjang masa demi kepentingan menjaga keselamatan pelancong yang melawat di pusat peranginan hutan tropika berusia 130 juta tahun.
Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Sh. Mohamed Puzi Sh. Ali berkata, pasukan Nature Lifeguard di bawah APM Pahang itu merupakan nilai tambah terhadap pembangunan industri pelancongan Taman Negara dan negeri ini khususnya bagi menangani aspek keselamatan darat dan air sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.
“Anggota pasukan ini dilatih dengan kemahiran asas pertolongan cemas, berenang, menyelamat di air dan daratan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta kemahiran mengendalikan bot selain penyelamatan, ini turut meningkatkan lagi keyakinan lebih tinggi kepada pelancong yang berada di sini berasa selamat.
Gimik penyelamatan mangsa lemas di Sungai Tembeling oleh JPAM dan anggota Nature Lifeguard, hari ini.
“Kita sedar berasaskan pengalaman banjir 2014 termasuk kejadian banjir tahun berikutnya serta malapetaka yang berlaku di darat (hutan) menyebabkan APM meningkatkan kesiapsiagaan untuk tugas menyelamat dengan menubuhkan pasukan tersebut,” katanya di Kuala Tahan dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Pengerusi Jawatan Kuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin melancarkan pasukan Nature Lifeguard APM di Kuala Tahan dekat sini.
Turut hadir Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.
Sempena majlis pelancaran itu, Sh. Mohamed Puzi turut menyampaikan sebuah enjin dan perahu sumbangan Malaysian Consultative Council of Islamic Organisation Malaysia (MAPIM) kepada pasukan Nature Lifeguard dan sukarelawan APM Kuala Tahan untuk kegunaan kerja menyelamat dan menghantar bantuan.
“Sekiranya pasukan Nature Lifeguard berada berdekatan tempat kejadian, tindakan menyelamat dapat dipercepatkan sekali gus pengurangan masa untuk tindak balas kecemasan serta risiko kecederaan dan bahaya tertentu kepada mangsa dapat dikurangkan.
“Ini cukup memberikan manfaat kepaka pelancong luar serta pelawat domestik yang saban hari menunjukkan peningkatan singgah di Taman Negara malahan lebih meyakinkan mereka untuk menjalani aktiviti riadah khususya aktiviti ekstrem di air dan darat,” katanya.
Katanya, pasukan Nature Lifeguard sudahpun dominan di negara Barat yang mempunyai banyak pusat pelancongan serta dikunjungi ramai pelawat untuk melakukan aktiviti bercorak ekstrem dan Pahang mengambil langkah yang proaktif untuk memperkemaskan aspek keselamatan dan penyelamatan.
“Tourism Pahang berharap kerajaan negeri dan APM akan menambah kelengkapan dan lojistik seperti bot serta peralatan menyelamat dari masa ke semasa serta melatih ramai ahli sukarelawan untuk menyertai pasukan Nature Lifeguard pada masa akan datang.
“Kita juga mencadangkan sebuah pusat lojistik dan pentabiran di Kuala Tahan untuk menempatkan peralatan menyelamat, tempat latihan, penerangan dan maklumat dan sebagainya daripada kerajaan negeri dan Pejabat Daerah dalam usaha memperkemaskan pengurusan pasukan tersebut termasuk Sukarelawan APM,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Kenderaan MPV milik mangsa yang dilarikan suspek dalam kejadian, semalam. Gambar kecil – Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu
Lelaki larikan MPV pulang ke kampung
KUANTAN – Seorang lelaki bertindak melarikan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik seorang wanita yang ditinggalkan sementara di hadapan sebuah rumah di Lepar Hilir 1 di sini semata-mata untuk pulang ke kampung di Mentakab.
Dalam kejadian pada petang Khamis itu, anak mangsa berusia sembilan tahun yang berada dalam kenderaan tersebut turut dilarikan sebelum kanak-kanak itu ditinggalkan di satu lokasi.
Tindakan nekad suspek berusia 35 tahun itu memakan diri apabila dia berjaya ditahan polis ketika memasuki kawasan daerah Maran.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa berusia 34 tahun yang bekerja sebagai peniaga nasi lemak meninggalkan MPV jenis Perodua Alza bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun sementara dia keluar menemui rakannya untuk urusan rawatan kepala.
Menurutnya, tindakan mangsa meninggalkan kenderaannya dalam keadaan enjin hidup membuka peluang kepada suspek melarikan MPV itu dengan anak mangsa berada di dalamnya.
Menurutnya, kejadian disedari mangsa selepas kembali ke kenderaannya lima minit kemudian apabila mendapati kenderaan yang ditinggalkan bersama anaknya lesap.
“Tindakan suspek melarikan kenderaan tersebut disedari seorang jiran rakan mangsa.
“Mangsa menghubungi talian 999 sebelum bertindak mengejar keretanya bersama saksi kejadian menggunakan kenderaan lain,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Sumber : Sinarharian
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bajet 2023 – KPKT tumpu kenaikan pangkat, insentif anggota bomba
MARAN – Pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) antara tumpuan utama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam Bajet 2023 dengan membuka lebih banyak peluang kenaikan pangkat serta insentif tambahan.
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, pihaknya sedang mengenalpasti keperluan untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kerajaan melalui sesi libat urus yang dilakukan ketika ini.
“Jadi saya tengok perkhidmatan bomba ini berat, tidak dinafikan peranan mereka sebagai barisan hadapan, wajar diberikan perhatian sebab itulah kadar elaun (perlu) dinaikkan dan hari ini kita nak lihat peluang kenaikan pangkat harus diberikan kepada anggota bomba selain insentif lain.
“Perkhidmatan bomba ini sepanjang masa berkhidmat, mereka sentiasa ada di setiap situasi keadaan,” katanya ketika ditemui media di Maran.
Katanya, apabila kemalangan jalan raya, mereka (bomba) pasti ada, keadaan banjir mereka turut bertugas membantu selain tugasan utama melakukan pemadaman kebakaran dan masuk ke dalam air sekiraya berlaku kejadian lemas.
“Mereka dahulu sebelum tiba sebelum pasukan keselamatan lain, mereka ada selain polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan agensi lain.
“Diharap pegawai dan anggota bomba turut menerima insentif bersesuaian dengan peranan mereka seperti dinikmati pasukan beruniform,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Bergambar selepas Majlis Penutup Bengkel Uji Semula Prosedur Tetap Operasi (SOP) Melaksanakan Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut untuk Mengatasi Jerebu dan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022 di Pekan bersempena sambutan Hari Alam Sekitar dengan tema “Hanya Satu Bumi”.
Kerajaan Pahang komited atasi jerebu melalui PTPTK
KUANTAN – Kerajaan Pahang komited mengatasi isu jerebu melalui Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) dengan menguji semula prosedur tetap operasi melaksanakan program mencegah kebakaran tanah gambut dan bukan tanah gambut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin berkata, tanggungjawab untuk memelihara dan memulihara alam sekitar bukan sahaja terletak sepenuhnya kepada kerajaan menerusi Jabatan Alam Sekitar tetapi semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.
“Adalah menjadi harapan saya agar semua pihak untuk meneruskan usaha-usaha baik yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan di dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Penutup Bengkel Uji Semula Prosedur Tetap Operasi (SOP) Melaksanakan Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut untuk Mengatasi Jerebu dan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022 di Pekan bersempena sambutan Hari Alam Sekitar dengan tema “Hanya Satu Bumi”.
Bengkel tersebut turut disertai oleh jabatan-jabatan dan agensi-agensi teknikal yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan aktiviti pembakaran terbuka.
Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada usaha pelbagai pihak sebagai sokongan terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar.
“Marilah kita bersama-sama menjadikan kelestarian alam sekitar dan pembangunan lestari tanggjungjawab kita bersama,” katanya.
Sumber: Pahangmedia
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Muttalib (tengah) bergambar bersama dua atlet negara yang menyumbang pingat emas, Nor Sarah (kiri sekali) dan Mohd Takiyuddin Hamid (kanan sekali).
Timbalan Menteri puji atlet asal Maran sumbang pingat emas sukan SEA
MARAN – Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahukan atlet ‘kampung’ digilap bakat mereka oleh badan sukan di pelbagai peringkat bagi menaikkan imej negara dalam sukan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Muttalib berkata, memuji dua atlet dari daerah Maran yang memperolehi pingat emas di Kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-31 yang berlangsung di Vietnam, baru-baru ini.
“Kejayaan itu bukan mudah untuk dicapai dan memerlukan kekuatan mental, fizikal dan semangat yang kental, selain itu semangat jatidiri yang kuat untuk negara yang boleh membuahkan hasil yang terbaik..
“Walaupun mereka datang dari kawasan kampung atau kecil tetapi memiliki bakat dan potensi yang besar, ramai juga bakat-bakat yang perlu digilap, oleh itu disarankan ada pihak yang berkkaitan membantu mencari dan mengilap bakat yang boleh diketengahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pasca Syawal di Dewan Arena, Maran meraikan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Parlimen Maran dan Bakal Haji 2022, semalam.
Sementara itu, Nor Sarah Adi mengakui bagaikan mimpi selepas berjaya menjelmakan pingat emas ke-19 kontinjen negara di Sukan SEA Vietnam dalam acara lompat bergalah wanita yang berlangsung di Stadium My Dinh di kejohanan sukan SEA.
Atlet yang berasal dari Jengka 3, berusia 22 tahun itu berkata, emas dalam acara lompat bergalah sama sekali tidak dijangka memandangkan dirinya ke Hanoi untuk menyertai acara 4×100 meter (m).
“Saya tidak sangka dapat menghasilkan pingat emas negara dan turut berjaya memperbaharui rekod peribadi pada temasya dwitahuan tersebut.
“Walaupun ke sana untuk acara 4×100 meter, tetapi setelah menerima peluang untuk menyertai acara lompat bergalah, saya tidak dipersiakan dengan persiapan yang rapi,” katanya ketika ditemui di majlis itu.
Seorang lagi atlet dari daerah Maran dalam acara sukan pencak silat, Mohd Taqiyuddin Hamid yang menyumbang pingat emas negara di sukan itu berterima kasih dengan sokongan semua pihak yang menyokongnya sebagai atlet negara.
“Saya bergandingan dengan rakan saya, Sazzlan dalam acara seni ganda putra, memang mencabar kerana selain bertanding untuk pingat emas, kami turut mempertahankan pingat emas acara ini.
“Tidak jauh mata saya dan pasangan dalamacara ini untuk mengungguli acara final yang diadakan di Bac Tu Liem Sporting Center dengan menewaskan pasangan dari Singapura,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Datuk Seri Dr Ismail (2 dari kiri) menyerahkan replika cek RM317,000 untuk Program Bandar Selamat
Majlis Daerah Maran dapat RM317,000 untuk program bandar selamat
MARAN – Majlis Daerah Maran (MDM) berjaya mendapat peruntukan sebanyak RM317,000 bagi melaksanakan Program Bandar Selamat bagi tahun 2022.
Program Bandar Selamat (PBS) bertujuan untuk mengurangkan jenayah dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat khususnya di bandar Maran dengan meliputi penyediaan komponen Crime Prevention Environmental Design (CPTED) yang diaplikasikan di tapak dengan mengambilkira isu berkaitan dengan keselamatan komuniti atau penduduk bandar Maran.
Timbalan Menteri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan (KPKT), Datuk Seri Dr Ismail Muttalib berkata, selain itu, Inisiatif Pemutihan KawasanBlackspot di bawah PBS diperkenalkan dengan fokus utama untuk mengurangkan kadar jenayah dan untuk meningkatkan persepsi rasa selamat di kalangan orang awam.
“Inisiatif ini mula dilaksanakan pada tahun 2013 dan kawasan blackspot ditentukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan mendapat persetujuan pihak polis yang mana telah dibentangkan dan diperakui dalam Mesyuarat Majlis Penuh PBT,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pasca Syawal Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam Parlimen Maran dan Meraikan Bakal Haji 2022 di sini, hari ini.
Katanya, daripada laporan MDM, statistiks indeks jenayah di kawasan Maran bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2021 telah mencatatkan beberapa kes jenayah seperti samun tanpa senjata, curi motokar dan pecah rumah.
“Justeru itu, beberapa langkah pencegahan perlu diambil bagi mengurangkan kadar jenayah seperti membina rel penghadang (Bollard) sepanjang laluan pejalan kaki sepanjang 250 meter, papan tanda keselamatan (4 unit), cermin keselamatan (5 unit) dan lampu Limpah (3 unit).
“PLANMalaysia KPKT merupakan penyelaras Program Bandar Selamat bersama-sama dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Katanya, diharapkan agar inisiatif ini dapat meningkatkan tahap keselamatan penduduk di Maran ke arah mencapai objektif secara keseluruhannya dengan mewujudkan suasana yang selamat di kalangan komuniti setempat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KPLB Peruntuk RM 2 juta Untuk Program Keusahawanan Orang Asli
KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memperuntukkan sebanyak RM 2 juta untuk Program Keusahawanan Orang Asli di Malaysia.
Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk melahirkan usahawan Orang Asli dengan bantuan pembinaan premis perniagaan, bantuan peralatan perniagaan, kursus dan seminar keusahawanan.
“Bagi menjana dan meningkatkan ekonomi masyarakat Orang Asli, JAKOA menganjurkan Karnival Usahawan Orang Asli 2022 (KUOA 2022) sebagai platform mengenengahkan keunikan produk-produk usahawan mereka.
Datuk Seri Abdul Rahman melawat salah satu kios jualan hasil tangan masyarakat Orang Asli.
“KUOA 2022 juga antara inisiatif kerajaan untuk membuka peluang dan ruang penglibatan kepada masyarakat Orang Asli dalam mempertingkatkan kemahiran berinteraksi selain mengentengahkan usaha menggunakan sumber alam sebagai punca pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Pra Pelancaran KUOA 2022 di Cornerstone IPC, Wisma Golden Eagle Realty, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Turut hadir Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor.
Katanya, meskipun berbeza kepercayaan, latar belakang dan budaya, kita meraikan “keterangkuman” dalam perbezaan, demi keluarga Malaysia.
“Bidang keusahawan yang dijalankan oleh masyarakat orang asli kini telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dengan pelbagai keunikan hasil kraf dan produk-produk masyarakat orang asli.
“Malah, kini turut dipasarkan dengan kaedah konvensional dan serta menerusi jualan dalam talian sekaligus mampu meningkatkan pendapatan masyarakat orang asli di Malaysia,’ katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!