MENTERI KESIHATAN AUSTRIA LETAK JAWATAN
MENTERI KESIHATAN AUSTRIA LETAK JAWATAN
VIENNA: Menteri Kesihatan Austria, Rudolf Anschober, hari ini mengumumkan peletakan jawatan berikutan terlalu teruk bekerja dan kepenatan akibat menguruskan krisis COVID-19.
Anschober dilantik sebagai Menteri Kesihatan awal tahun lalu ketika parti Hijau membentuk gabungan ‘luar biasa’ dengan parti konservatif pimpinan Canselor Austria, Sebastian Kurz, sebelum coronavirus mula merebak di Eropah.
“Saya memutuskan untuk meletak jawatan, saya sudah terlalu teruk bekerja dan sangat letih,” kata bekas wartawan berusia 60 tahun itu yang menyifatkan tugasnya selama 15 bulan dirasakan bagai 15 tahun.
Beliau, yang digantikan Wolfgang Mueckstein, mengingatkan perjalanan menangani pandemik masih jauh untuk berakhir dan tidak boleh dipandang ringan.
“Krisis ini masih belum berakhir,” katanya yang mula sebak ketika mengucapkan penghargaan kepada rakannya.
Anschober memaklumkan mengalami masalah peredaran darah dan tidak bekerja sejak minggu lalu serta mengambil cuti selama seminggu awal bulan lalu ketika dimasukkan ke hospital, lapor AFP.
Populariti Anschober melonjak ketika krisis itu, malah melebihi ketuanya pada pertengahan tahun lalu apabila Austria berjaya mengawal pandemik gelombang pertama.
Austria yang memiliki penduduk hampir sembilan juta penduduk merekodkan lebih 581,000 kes dengan lebih 9,700 kematian setakat ini.
Ibu negaranya, Vienna dan dua kawasan lain dikenakan perintah berkurung sejak awal bulan ini berikutan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) yang semakin berkurangan.
Anschober yang juga ahli politik veteran, pernah mengambil cuti daripada politik selama tiga bulan pada 2012 akibat terlalu penat bekerja.