MAHKAMAH BATAL SAMAN FITNAH HANNAH YEOH TERHADAP MUSA HASSAN
MAHKAMAH BATAL SAMAN FITNAH HANNAH YEOH TERHADAP MUSA HASSAN
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi pada Isnin membatalkan saman bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan atas alasan terdapat isu teknikal dalam kes itu.
Saman itu adalah berhubung kenyataan Musa yang didakwa berbaur fitnah semasa beliau berucap dalam satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 30 Januari tahun lepas.
Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang mewakili Musa, ketika dihubungi berkata, Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membatalkan saman itu selepas mendapati Yeoh gagal mematuhi arahan mahkamah berkaitan pemfailan beberapa dokumen praperbicaraan.
“Perintah pembatalan ini dibuat tanpa kos dengan kebebasan untuk plaintif memfailkan semula saman,” katanya selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) di hadapan Rozana.
Peguam Lim Wei Jiet, yang mewakili Yeoh, pula berkata plaintif tidak dapat memfailkan beberapa dokumen kerana ia memerlukan persetujuan daripada peguam defendan dan meskipun kesemua dokumen sudah dihantar namun persetujuan itu belum diperoleh.
“Peguam defendan terpaksa menguruskan kecemasan peribadi beberapa hari lepas, yang menjadikan lebih sukar untuk memperoleh persetujuan itu. Malangnya, hakim tidak menerima penjelasan ini dan membuat keputusan seperti itu.
“Kes ini telah dibatalkan namun hanya atas alasan teknikal. Kami mendapat arahan untuk memfailkannya semula secepat mungkin dan tetap akan meneruskan saman fitnah terhadap Musa,” katanya.
Beliau kemudian memaklumkan pemberita bahawa saman itu telah difailkan semula pada Isnin dan sedang menanti mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi pengurusan kes, lapor Bernama.
Berdasarkan tuntutan saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Yeoh mendakwa Musa memberi ucapan pada forum bertajuk “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?”
Ahli Parlimen Segambut itu mendakwa, kenyataan dalam ucapan itu adalah tidak benar, menyusahkan, palsu, salah dan tidak berasas selain telah dirancang terlebih dahulu, dibuat dengan niat jahat, mencemarkan nama baik, memfitnah serta memusnahkan reputasi plaintif.
Beliau memohon mahkamah mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang Musa, pegawai atau ejennya daripada menyebut, menerbit, menyebabkan untuk diterbitkan perkataan yang didakwa berunsur memfitnah selain menuntut ganti rugi umum, teruk dan teladan selain kos serta relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.