LORI LIMA TAN TLDM MUSNAH TERBAKAR
LORI LIMA TAN TLDM MUSNAH TERBAKAR
TANJUNG MALIM – Sebuah lori lima tan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) musnah dalam kebakaran di Kilometer 356 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Trolak di sini hari ini.
Difahamkan, lori yang membawa pakaian seragam dan beg-beg itu dalam perjalanan dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Pangkalan TLDM, Lumut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River, Mohd. Fazrul Azuan Norman berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu pada pukul 12.36 tengah hari.
Katanya, sepasukan 15 anggota dari BBP Slim River dan BBP Bidor digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi memadam kebakaran, lapor KOSMO online
“Setibanya di lokasi, api didapati sedang marak dan anggota segera melakukan kerja-kerja pemadaman. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh enam minit.
“Kemusnahan kebakaran dianggarkan 85 peratus namun tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa. Dua anggota TLDM yang menaiki lori tersebut berjaya menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.