Lebuhraya Karak-KL dilebarkan dan terowong ke-3 dibina
Lebuhraya Karak-KL dilebarkan dan terowong ke-3 dibina
LIPIS : Kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan cadangan pelebaran lorong lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) serta sebuah terowong ketiga bakal dibina oleh pihak ANIH Berhad
Cadangan Pelebaran Lebuhraya KL-Karak itu dijangka akan dapat menyediakan lebuh raya yang selesa, cepat, mudah dan cekap serta menangani isu kesesakan yang sering berlaku di Lebuhraya KL-Karak terutamanya pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu.
Timbalan Menteri Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, KKR sentiasa cakna dengan keluhan rakyat yang terpaksa menghabiskan berbelas jam untuk pulang ke kampung terutama ketika musim perayaan.
“Kesesakan luar biasa sering berlaku pada waktu puncak menjelang hari perayaan, cuti umum dan hujung minggu oleh itu Lebuhraya KLK sepanjang 45.3 kilometer dengan kos RM 2.1 Bilion akan dibina.
“Pembinaan ini untuk memberi kemudahan kepada orang ramai khususnya pengguna yang kerap menggunakan laluan tersebut, maka kerja pelebaran ini merupakan usaha kerajaan untuk memberi keselesaan kepada rakyat pada masa hadapan,” katanya baru-baru ini.
Katanya, kerja pelebaran KLK tersebut akan bermula dari Plaza Tol Gombak ke Persimpangan Mempaga, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (Central Spine Road) di Bentong dengan menambah satu lorong daripada tiga lorong sehala sedia ada kepada empat lorong sehala.
“ini melibatkan dari Seksyen 1, dari Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi dan daripada dua lorong sehala sedia ada kepada tiga Lorong sehala bagi Seksyen 2 iaitu dari Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong, sepanjang 45.3 kilometer.
“Kerja ini turut melibatkan tambahan pembinaan sebuah terowong dua lorong baharu yang akan dibina bersebelahan dengan terowong sedia ada arah Timur dan penyediaan lampu jalan di sepanjang jajaran yang terlibat dengan kos keseluruhan RM2.1 billion,” katanya.-SAHIH.