JURUTERA DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA DI SURAU
JURUTERA DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA DI SURAU
KUANTAN: Seorang jurutera di sebuah syarikat di Gebeng di sini, ditemukan meninggal dunia di surau Mahkota Golf & Country Club (MGCC) Indera Mahkota, dekat sini, tiga hari lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Mohd. Muhaizul Mohd. Idris @ Mohamed, 42, ditemukan terjatuh dan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, setelah menerima panggilan Mers 999, empat anggota dari Balai Komuniti Indera Mahkota segera ke lokasi kejadian untuk siasatan awal.
Menurutnya, polis mendapati seorang lelaki dalam keadaan terlentang lengkap berpakaian yang ditutup dengan sehelai kain pelikat dan sudah tidak bernyawa.
“Hasil siasatan menemu bual rakan mangsa yang turut sama bermain golf bersamanya di situ, lebih kurang pukul 5.15 petang ketika mereka sudah sampai ke lubang 18 mangsa mengadu kepada rakannya untuk berhenti bermain kerana dia berasa pitam.
“Sejurus selepas kejadian itu, mereka berpecah dan mangsa segera meninggalkan rakan kerana ingin berehat di lobi MGCC,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohammad Noor berkata, ketika sedang bersiap untuk pulang saksi cuba menghubungi mangsa menerusi telefon bimbit namun tiada jawapan, lapor Utusan Online
“Kemudian saksi berpatah balik ke lobi MGCC dan bertanya petugas di kaunter dan memberitahu mangsa berada di surau sedang berehat.
“Setibanya di surau saksi mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri dan segera menghubungi pihak hospital. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Pemeriksaan juga dilakukan ke atas badan mangsa namun tidak menemukan sebarang kesan atau tanda berunsurkan jenayah,” katanya.
Beliau berkata, mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasatan dan hasil ujian saringan mendapti mangsa negatif Covid-19.