Kubu UKK wajar dipelihara sebagai monumen sejarah perjuangan menentang Komunis
Kubu UKK wajar dipelihara sebagai monumen sejarah perjuangan menentang Komunis
JERANTUT : Kubu Unit Kawalan Kawasan (UKK) Jerantut yang dirobohkan susulan projek pelebaran Jalan Jerantut-Maran wajar dialihkan dan ditempatkan semula ke lokasi yang sesuai sebagai monumen sejarah bagi memperingati perjuangan pasukan keselamatan negara menentang ancaman komunis di daerah ini.
Kubu yang terletak berhampiran Persimpangan Tok Gajah itu bukan sekadar binaan kawalan keselamatan lama, malah merupakan tinggalan sejarah yang menjadi saksi kepada operasi pasukan keselamatan ketika negara berdepan ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) di kawasan pedalaman Pahang sekitar tahun 1970-an hingga awal 1980-an.

Bekas anggota UKK, Mohd Sharif Mohd Sulung, 75, berkata kira-kira enam kubu dibina di sekitar kem UKK Jerantut yang kini menjadi Pejabat Polis Trafik daerah ini sebagai pos pemerhatian dan kawalan keselamatan bagi memantau pergerakan di kawasan yang dianggap sensitif ketika itu.
Menurutnya, anggota bertugas secara bergilir sepanjang malam untuk menjalankan rondaan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk serta mengesan sebarang ancaman yang boleh menggugat ketenteraman awam.
“Ketika itu ancaman komunis masih wujud dan anggota sentiasa berada dalam keadaan siap siaga. Kubu-kubu ini berfungsi sebagai benteng pertahanan dan pusat pemantauan bagi melindungi kawasan sekitar.
“Justeru, kubu yang masih ada wajar dipelihara dan ditempatkan semula supaya generasi hari ini dapat memahami sejarah perjuangan pasukan keselamatan mempertahankan keamanan negara,” katanya.
Seorang lagi bekas anggota UKK, Ibrahim Mahmood, 71, berkata kewujudan kubu berkenaan menggambarkan tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menghadapi ancaman komunis yang masih aktif di kawasan pedalaman pada era tersebut.
Katanya, walaupun ancaman itu telah berakhir, kubu berkenaan mempunyai nilai sejarah yang tinggi kerana menjadi bukti fizikal pengorbanan anggota keselamatan yang berkhidmat mempertahankan keamanan negara.
“Bukan banyak tinggalan fizikal yang masih dapat menceritakan peranan UKK pada zaman itu.
“Sebab itu kubu ini perlu dipelihara sebagai warisan sejarah untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, aktivis masyarakat, Datuk Ridzuan Mansor berkata kubu yang telah ditumbangkan itu masih boleh diselamatkan dengan dipindahkan ke lokasi yang sesuai sebagai monumen sejarah dan bahan rujukan awam.
Menurutnya, kubu tersebut mempunyai nilai warisan yang signifikan kerana melambangkan ketabahan serta pengorbanan pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara.
“Kubu ini bukan sekadar struktur konkrit lama, tetapi simbol perjuangan pasukan keselamatan ketika negara berdepan ancaman komunis. Ia perlu dipelihara sebagai khazanah sejarah agar masyarakat, khususnya generasi muda, memahami harga sebuah keamanan yang dinikmati hari ini,” katanya.
Beliau berharap pihak berkaitan dapat mempertimbangkan usaha menempatkan semula kubu berkenaan di kawasan strategik seperti tapak warisan, galeri sejarah atau kawasan rekreasi awam supaya legasi perjuangan pasukan keselamatan negara terus dikenang sepanjang zaman.-SAHIH.
