ENAM BALAI BOMBA BAHARU DIBINA DI PAHANG
ENAM BALAI BOMBA BAHARU DIBINA DI PAHANG
LIPIS: Pahang bakal menerima enam buah balai bomba baharu, 3 sedang dibina serta 3 buah lagi telah diluluskan peruntukannya dan bakal dibina secepat mungkin tidak lama lagi.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, enam buah balai bomba tersebut ialah di Sungai Lembing (Kuantan) , Goh Tong Jaya (Genting Highlands) , Kuala Tahan (Jerantut), Chenor (Maran), Benta (Lipis) dan Gambang (Kuantan).
“Semua balai tersebut yang sedang dan bakal dibina ini terletak di lokasi yang amat diperlukan kerana bakal memberi khidmat pemadaman dan bantuan mangsa kemalangan dan bencana dengan segera kerana tempat tersebut berada agak jauh daripada balai bomba sedia ada.
“Diharap penduduk setempat menggunakan kemudahan yang disediakan serta menyeru pemimpin setempat dan orang ramai melaporkan sekiranya ada berlaku kebakaran dan sebagainya kepada bomba di Sungai Koyan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika kepada media selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Koyan, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Ts. Mohammad Hamdan Wahid serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Datuk Abd Rahim Muda.
Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Koyan telah mula beroperasi pada tahun 2019 dan dimanfaatkan kira-kira 30,000 penduduk di kawasan sekitar.
“Malah, tiga komuniti iaitu masyarakat orang asli, peneroka di Felda Koyan 1,2 dan 3 serta penduduk kampung tradisional mendapat faedah bersama.
“Balai bernilai kira-kira RM1 juta dengan jentera dan alat kelengkapan ini juga dapat dimanfaat penduduk di sempadan seperti di Tersang yang turut boleh dapat bantuan daripada balai bomba ini juga,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Kerajaan Tempatan, Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat bersama seluruh pegawai dan anggota terlibat sehingga terlaksananya kemudahan kepada rakyat di kawasan ini.-SAHIH.