Dua marshal konvoi motosikal besar ditahan polis
Dua marshal konvoi motosikal besar ditahan polis
PORT DICKSON – Dua lelaki termasuk seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk yang terlibat dalam rakaman aksi ‘marshal’ di Port Dickson pada Ahad lepas, menyerah diri di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Port Dickson hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata mereka berusia 45 dan 49 itu, tiba di IPD terbabit secara berasingan iaitu masing-masing pada jam 12.45 tengah hari dan 2.30 petang.
“Mereka hadir ke Balai Trafik Port Dickson sejurus mengetahui aksi mereka yang dirakam dan ditularkan secara meluas di media sosial. Kedua-duanya ditahan sebaik mereka menyerah diri di Balai Polis Trafik Port Dickson,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aidi Sham polis turut merampas dua motosikal berkuasa tinggi dan beberapa barangan lain milik individu yang digunakan kedua-dua marshal berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan polis mengesan individu yang bertindak sebagai marshal dengan memberi arahan kepada kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan seperti video berdurasi tiga minit tular di Facebook pada Ahad lepas.
SUMBER: Bernama