DIBELASAH SUAMI CEMBURU
Berita Jenayah
DIBELASAH SUAMI CEMBURU
KULIM: Seorang suri rumah nekad menunggang motosikal sambil menahan kesakitan akibat kecederaan di muka selepas dibelasah suami, ketika tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, wanita terbabit cedera di mulut dan bengkak di muka akibat ditumbuk suaminya kerana cemburu.
Mangsa berusia 45 tahun terbabit dipukul dengan besi di bahagian belakang oleh suspek berusia 48 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata dalam kesakitan akibat serangan itu, mangsa berusaha menunggang motosikal untuk membuat laporan polis.
Beliau berkata, susulan dari laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim menahan suami mangsa di rumah mereka pada jam 6.40 petang untuk membantu siasatan.
“Siasatan mendapati suspek dipercayai memukul mangsa dengan tangan dan besi di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan rumah itu menemui satu batang besi plat panjang untuk memukul mangsa dan dirampas untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azhar berkata, berdasarkan siasatan, mangsa mendakwa kejadian dialaminya semalam bukan kali pertama dipukul suami, sebaliknya sudah banyak kali diperlakukan sedemikian kerana cemburu.
Beliau berkata, suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan 326A Kanun Keseksaan.
“Mangsa dirawat di Hospital kulim dan menerima enam jahitan di bibir akibat kejadian itu,” katanya.
Sumber: BH Online