24 KES PENYU AGAR MATI SEJAK 2019; ‘PUKAT PARI’ DILARANG
24 KES PENYU AGAR MATI SEJAK 2019; ‘PUKAT PARI’ DILARANG
KUANTAN : Bangkai penyu agar dewasa ditemukan dengan kesan luka pada badan terdampar di pesisir di Pantai Balok di sini, kelmarin.
Penyu bersaiz kira-kira 0.9 meter panjang itu dipercayai mati selepas tersangkut pada pukat nelayan sebelum lemas.
Pemancing Mohd Hanafi Salleh, 39, dia menemukan bangkai penyu berkenaan yang dipercayai mati beberapa hari lalu kerana keadaannya sudah mula mereput.
“Saya tidak menyangka objek yang disangka tunggul kayu sebenarnya bangkai penyu yang sudah busuk.
“Kesan luka yang terdapat pada penyu itu kemungkinan ia tersangkut pada pukat nelayan sebelum mati dan hanyut ke Pantai Balok,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kali pertama dia melihat bangkai penyu di pantai ini walaupun sebelum ini sering memancing di lokasi terbabit.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata, pihaknya sebelum ini merekodkan sebanyak 24 kes kematian penyu agar sejak 2019.
Menurutnya, daripada jumlah itu, tiga kes direkodkan dalam tempoh tiga bulan tahun ini tidak termasuk penemuan terbaru di Pantai Balok berkenaan dan tujuh kes sepanjang tahun lalu serta 13 kes pada 2019.
“Punca kematian dipercayai disebabkan tersangkut pada pukat, terkena kipas bot nelayan dan mengalami masalah usus yang berpunca daripada memakan plastik yang dibuang ke laut,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Abdullah berkata, bagi mencegah penyu tersangkut pada pukat, penggunaan mata pukat hanyut yang melebihi 25.4 sentimeter yang dikenali sebagai ‘pukat pari’ adalah dilarang.
Menurutnya, larangan itu dibuat berdasarkan Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.
Katanya, plastik yang dibuang ke laut turut mengancam nyawa penyu kerana ia menyangka ampai-ampai yang menjadi makanan utamanya.
“Justeru, saya berharap semua pihak termasuk nelayan tidak bertindak membuang sampah terutama plastik ke laut serta persekitaran, banyak kes penyu mati kerana makan plastik,” katanya.