CHERAS: Polis akan membuka kertas siasatan berhubung isu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melanggar perintah kuarantin jika mempunyai keperluan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya masih meneliti kes berkenaan sebelum tindakan susulan diambil.
“Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang laporan berkaitan isu itu. Polis akan teliti perkara ini termasuk permohonan maaf dibuat Amirudin menerusi media sosial.
“Kalau ada keperluan, kita buka kertas siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah dan Pelancaran Portal serta Aplikasi Semak Mule, di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini.
Ahad lalu, Amirudin dilaporkan memohon maaf kerana terpaksa keluar daripada kuarantin untuk membuat sidang media berhubung isu pencemaran di Selangor.
Mengulas perkembangan berkaitan, Acryl Sani, berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk golongan kluster kayangan yang didapati ingkar arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.
“Kita berada dalam fasa kritikal berbanding Mac lalu berhubung peningkatan kes positif COVID-19.
“Selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) semalam, tiada sesiapa terkecuali daripada siasatan dan tindakan termasuk ahli politik dan pemimpin kerajaan,” katanya.
Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata, tidak ada pilih kasih dalam keperluan mematuhi arahan kuarantin kepada mana-mana individu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BRENTFORD: Tiga sekeluarga ditemui mati dalam kediaman yang mereka sewa di Barat London, kira-kira jam 1 pagi tadi (waktu tempatan).
Mayat semua mangsa ditemui selepas pihak polis terpaksa memecah masuk kediaman itu berikutan laporan daripada ahli keluarga mangsa yang mendakwa sudah tidak berjumpa dengan mangsa sejak beberapa minggu lalu.
Ketua Detektif Inspektor, Simon Harding berkata, kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Kailash Kuha Raj, tiga tahun dan ibunya, Poorna Kaameshwari Sivaraj, 36, dipercayai meninggal dunia sejakbeberapaketika sebelum pihak polis menemui mayat mereka.
“Seorang lagi mangsa adalah suami Poorna, Kuha Raj Sithamparanathan, 42, disahkan meninggal dunia akibat kesan tikaman pada beberapa bahagian badan… pasukan paramedik cuba menyelamatkan Raj, namun gagal,” katanya.
Difahamkan, pasangan itu berasal dari Malaysia dan berkahwin di Kuala Lumpur pada tahun 2015.
Beberapa jiran keluarga malang itu mendakwa terdengar pertengkaran dan pergaduhan antara pasangan terbabit beberapa hari lalu.
Jiran mereka bagaimanapun mengakui pasangan terbabit sering dilihat keluar bersama dan hidup dalam keadaan bahagia, seperti pasangan-pasangan lain yang menetap di kawasan itu.
Harding memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan teliti bagi memastikan punca sebenar kejadian dapat diketahui.
“Pasukan siasatan memberi jaminan untuk melakukan siasatan dengan profesional… ada (ahli keluarga mangsa) mendakwa kali terakhir berhubung dengan pasangan ini pada 21 September lalu dan kita minta kerjasama jiran dan penduduk sekitar yang mempunyai sebaranv maklumat dapat tampil membantu kami,” katanya.
Sumber: TheSun & DailyMail
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima aduan beberapa pegawai Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyalahgunakan wang disyaki milik Kerajaan Malaysia yang dianggarkan jutaan ringgit dan disimpan di beberapa lokasi.
Penolong Penguasa SPRM, Muhammad Nizhar Kadi berkata selepas mendapat aduan itu, SPRM telah menjalankan operasi OpsDinar2 bagi menyiasat dakwaan salah guna wang tersebut.
“Selepas penangkapan beberapa suspek dan penggeledahan di beberapa rumah di Cyberjaya dan Putrajaya, tiada sebarang wang tunai dan dokumen berkaitan ditemui.
“Sekitar jam 12.15 tengah malam, 30 Ogos 2018, saya dan pasukan diarahkan untuk menangkap seorang suspek yang dikenali sebagai Datuk Salahudin Yaakob di KLIA2.
“Pada jam 1 pagi, kami terus bergerak ke ShaftsburyResidence, Cyberjaya untuk tujuan penggeledahan.
“Wang tunai berjumlah AS$4.07 juta telah disita di unit tersebut,” kata saksi pendakwaan pertama ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Muhammad Iskandar Ahmad dalam perbicaraan kes pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.
Muhammad Nizhar berkata pada jam 11 pagi, hari sama, penyitaan kedua dibuat di Kuala Terengganu selepas suspek lain yang dikenali sebagai Maliki memberitahu yang dia menyimpan sejumlah wang di rumah ibu bapanya.
“Hasil penggeledahan di rumah keluarga Maliki, saya telah menjumpai satu beg yang berisi wang tunai sebanyak RM220,000 seperti dinyatakan oleh Maliki.
“Maliki telah mengira sendiri duit yang disita sambil disaksikan oleh saya,” katanya.
Hari pertama perbicaraan kes itu juga mendengar keterangan saksi ketiga, Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Norhisham Md Nordin, 40, yang memberitahu Hasanah tidak menyediakan NotaSerahTugasdanFailMeja selepas kontraknya sebagai Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan JPM tamat.
“Kontrak perkhidmatan Hasanah bagi jawatan tersebut tamat pada 30 Jun 2018 dan beliau tidak menyediakan kedua-dua dokumen (NotaSerahTugasdanFailMeja) tersebut.
“Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2004 dan surat Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 19 Julai 1985 menyatakan mana-mana pegawai kerajaan yang bertukar atau bersara mereka diwajibkan menyediakan NotaSerahTugasdanFailMeja untuk diserahkan kepada pengganti,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh TPR, Muhamad Ashraf Md Kamal.
Menurut Norhisham, proses pertukaran, kenaikan pangkat atau penamatan perkhidmatan pegawai, perlu disertakan NotaSerahTugas selaras dengan panduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia.
“NotaSerahTugas ini bertujuan sebagai panduan kepada pegawai baru yang akan mengambil alih tugas jawatan berkenaan,” katanya
Saksi itu yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai khas di Bahagian Penyelidikan JPM berkata perkara itu tercetus selepas bekas majikannya yang merupakan Ketua Pengarah Penyelidikan JPM ketika itu, Datuk Ahmad Shublee Othman mengarahkannya supaya mendapatkan NotaSerahTugasdanFailMeja Hasanah.
“Saya mendapati kedua-dua dokumen itu tidak disediakan oleh Hasanah selepas bertanya kepada bekas pembantu khas Hasanah serta kakitangan di Pejabat Ketua Pengarah.
“Datuk Ahmad Shublee Othman dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyelidikan pada 8 Julai 2018 bagi menggantikan Datuk Hasanah kerana kontrak perkhidmatan Hasanah tamat pada 30 Jun 2018. Sepanjang tempoh 1 sehingga 7 Julai 2018, jawatan Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan tidak diisi kerana belum ada sebarang pelantikan daripada pejabat Ketua Setiausaha Negara,” katanya.
Norhisham berkata isi kandungan NotaSerahTugas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan perlu menyatakan perkara-perkara seperti senarai kedudukan terakhir (status) tugas-tugas pegawai yang masih belum selesai, senarai harta benda atau peralatan pejabat yang berada di bawah kawalan pegawai tersebut, kedudukan kewangan semua akaun jabatan dan fail meja.
Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, 62, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.
Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh bersambung Khamis.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menyampaikan perutusan berkenaan keadaan semasa COVID-19, pada pukul enam petang ini.
Perutusan itu akan disiarkan secara langsung di Facebook dan juga saluran televisyen RTM, BernamaTV, TV3 dan AstroAwani.
Perkara itu dimaklumkan di laman Facebook rasminya tengah hari tadi.
Makluman itu tidak menyebut jika perdana menteri akan membuat sebarang pengumuman penting berkenaan perintah kawalan pergerakan.
Buat masa ini, Malaysia dalam perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa sehingga 31 Disember ini.
Negara menyaksikan kenaikan mendadak kes COVID-19 sejak bulan lalu, dengan keadaan kian memburuk sejak minggu lalu.
Sumber: Malaysiakini
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 750 akaun dengan simpanan kira-kira RM75 juta hasil aktiviti pengubahan wang haram, termasuk membabitkan selebriti.
Agensi itu juga turut menyita 24 kenderaan mewah dan motosikal berkuasa tinggi milik beberapa daripada individu yang ditahan.
Sumber SPRM berkata, mereka juga menyita kediaman mewah milik pasangan suami isteri yang ditahan Jumaat lalu dan seorang suspek lain yang ditahan bersama-sama mereka.
“Siasatan terperinci masih dijalankan ke atas enam suspek yang masih ditahan, selepas dua daripada mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM petang tadi.
“Siasatan pada masa ini tertumpu kepada wang yang dilaburkan, selain mengesan individu lain yang turut terbabit serta dibayar untuk melindungi aktiviti berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, SPRM juga mengesan pegawai agensi keselamatan yang menerima bayaran bagi melindungi kegiatan pelaburan MacauScam dan judi atas talian yang dijalankan oleh mereka.
BH sebelum ini melaporkan, dalang utama sindiket berkenaan dipercayai rakyat China, tetapi menggunakan ejen di Malaysia untuk menguruskan pelaburan termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform membersihkan wang hasil penipuan.
Ejen sindiket akan mendekati selebriti tanah air dan menyatakan minat melabur dalam perniagaan atau menyuntik modal untuk selebriti berkenaan memulakan perniagaan.
Jumaat lalu, seorang selebriti bersama isterinya yang juga seorang artis serta seorang usahawan kosmetik dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan mengumumkan 122 sekolah di Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang diarahkan tutup bermula esok.
Pengumuman itu dibuat melalui kenyataan di laman sosial Facebook rasmi Kementerian berkenaan sebentar tadi.
Daripada jumlah itu, 86 adalah sekolah rendah; 25 sekolah menengah dan 11 sekolah swasta.
Penutupan itu dibuat hasil Mesyuarat Khas Menteri-menteri hari ini dan berpandukan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan terbabit berikutan kadar peningkatan kes COVID-19 yang agak membimbangkan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PUTRAJAYA: Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak dapat menjangkakan bila bekalan air di kawasan yang terjejas akan pulih seperti sedia kala.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan AirSelangor, Suhaimi Kamaralzaman, berkata pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar pencemaran di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan.
“Dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi hanya boleh beroperasi sekiranya ukuran kadar bau (TON) di tahap sifar, namun sehingga jam 12.30 tengah hari ini, bacaan di muka sauk LRA Sungai Semenyih berada di tahap sembilan TON dan LAR Bukit Tampoi pula lapan TON.
“Sungai Batang Benar yang terletak kira-kira 20 kilometer (KM) dari LRA Sungai Semenyih masih tercemar dan berada di tahap 18 TON. Henti tugas ini menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada pengguna di 274 kawasan.
“Gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka akan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya kerana kedua-dua loji ini sudah dihenti tugas selama 20 jam,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Berikutan itu, Suhaimi berkata pihaknya sudah menggerakkan 64 lori tangki air ke premis-premis kritikal, sekolah serta kawasan perumahan yang terjejas.
“Terdapat 14 tangki statik, tujuh stesen pengisian setempat, sembilan pusat khidmat setempat (PKS) dan 10 pili awam turut disediakan untuk kemudahan pengguna yang terjejas.
“Air Selangor menyarankan kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan air bersih di pili awam kerana bantuan melalui lori-lori tangki air adalah diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.
“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di PKS yang disediakan. Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar disahkan negatif dalam ujian saringan kedua COVID-19.
Difahamkan, ujian kedua dilakukan kelmarin dan keputusan saringan itu disahkan oleh Pejabat Menteri Besar Terengganu.
Isteri Ahmad Samsuri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman dan tiga pegawai Menteri Besar yang turut menjalani ujian tersebut, juga disahkan negatif.
Sinar Harian melaporkan kesemua mereka mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjalani kuarantin sendiri sejurus pulang dari Sabah, kira-kira dua minggu lalu.
Sebelum ini pada 25 September lalu, Setiausaha Politiknya, Muhyidin Abdul Rashid memaklumkan Ahmad Samsuri diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Ia susulan berlaku kontak rapat antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu dengan dua individu yang disahkan positif COVID-19.
Kesemua program yang membabitkan Ahmad Samsuri juga ditangguhkan sehingga beliau selesai menjalani kuarantin.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SHAH ALAM: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dekat sini, terpaksa dihenti tugas sepenuhnya susulan pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.
Insiden itu menyebabkan bekalan air ke 273 kawasan meliputi 309,605 akaun pengguna mengalami gangguan tidak berjadual.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan empat wilayah, iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.
“Kami sudah melaporkan insiden ini kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan tindakan untuk mengenalpasti punca pencemaran Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitarnya giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Elina berkata, Air Selangor sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menggiatkan bantuan kepada pengguna yang terjejas berikutan insiden berkenaan.
“Pada masa ini, kami masih belum dapat menjangkakan tempoh masa pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan. Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” katanya.
Katanya, pengguna boleh merujuk perkembangan insiden berkenaan melalui aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi media sosial syarikat itu termasuk Facebook, Twitter, Instagram Air Selangor dan laman www.airselangor.com untuk maklumat berkaitan.
Pencemaran sumber air mentah utama untuk LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi itu adalah yang kedua berlaku di Lembah Klang dalam tempoh kira-kira sebulan, selepas pencemaran Sungai Gong di Rawang, awal bulan lalu.
Dalam insiden terdahulu, sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air berikutan pencemaran Sungai Gong akibat pencemaran minyak dari industri berhampiran sehingga menjejaskan kira-kira lima juta pengguna.
Tujuh wilayah berkenaan ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. Susulan itu, empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus syarikat membaiki jentera berat didakwa di mahkamah sebelum dibenarkan ikat jamin.
BH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA: Empat siri pertama wang not menjadi buruan ribuan ahli numismatik atau pengumpul wang lama disebabkan mempunyai nilai tinggi dalam pasaran.
Menurut ahli numimastik yang berpengalaman kira-kira 10 tahun, Muhammad Ibrahim Hassan, harga itu boleh melonjak kepada lima angka bergantung keadaan wang nota itu selain nombor siri yang cantik.
“Paling diburu dan mempunyai nilai ketika ini ialah wang not siri pertama hingga keempat iaitu wang yang ditandatangani oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) kedua, Tun Ismail Mohd Ali dan Gabenor BNM ketiga, Tan Sri Datuk Abdul Aziz Taha.
“Saya pernah menjual wang RM1 nombor siri rendah iaitu 100 ke bawah sebanyak satu set pada harga RM12,000 kira-kira dua tahun lalu dan dijangka boleh naik sekitar RM2,000 lagi jika terjual pada hari ini.
“Namun untuk tentukan terlalu subjektif hanya ahli numismatik atau pemain berpengalaman tahu pasang surut nilai pasaran mengikut permintaan semasa,” katanya.
Menjelaskan antara keempat-empat siri itu, siri pertama dan siri keempat adalah paling sukar dicari dan pengumpul wang lama berlumba-lumba menjadikan ia koleksi mesti dimiliki terutama mempunyai nilai nombor siri terendah.
MUHAMMAD Ibrahim Hassan. FOTO ihsan Muhammad Ibrahim Hassan
Kata Muhammad Ibrahim lagi, selain kriteria itu memberi nilai tinggi apabila dijual kepada ahli numismatik, nilai wang lama boleh berubah berdasarkan beberapa aspek lain antaranya situasi ketika wang itu dikeluarkan selain penilaian berdasarkan gred oleh syarikat tertentu yang memiliki kelayakan seperti PaperMoneyGuaranty (PMG) berpangkalan di luar negara.
“Kebanyakan orang menyangkakan duit lama mempunyai nilai tinggi, tetapi ada ketikanya wang not baru iaitu sekitar 1990-an mempunyai nilai tinggi berbanding wang lama.
“Pengalaman saya seperti menjual wang not RM1 dengan tandatangan Tan Sri Ali Abul Hasan Sulaimani pada keadaan biasa sudah mencecah RM2,600.
“Wang not RM1 itu ditarik balik daripada pasaran kerana tandatangan sepatutnya pada wang kertas adalah Tan Sri Dr Ungku Zeti Akhtar yang menjadi Gabenor BNM pada waktu itu,” katanya.
Ketika ini, Ibrahim memiliki lebih 500 koleksi wang lama dan sentiasa mengemas kini koleksi wang not mengikut permintaan pasaran dan jumlah siri yang unik.
“Bagi kami, untuk jumpa wang not bernilai ibarat satu kepuasan dan bergantung kepada rezeki. Baru-baru ini saya mendapat wang not RM1 daripada edisi awal dengan nombor siri solid iaitu 444 dan sudah mempunyai pembeli sedia menunggu pada harga sekitar RM2,000,” katanya.
Sumber: HarianMetro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!